BERLIN, 12 JUN – Jerman menyatakan sokongan kepada Denmark berhubung tuntutan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terhadap Greenland, kata Canselor Friedrich Merz kelmarin.
“Prinsip ketakbolehcabulan sempadan termaktub dalam undang-undang antarabangsa dan bukan sesuatu yang boleh dirunding,” lapor Agensi Berita Jerman, dpa, memetik Merz sebagai berkata dalam sidang media di Berlin selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen.
“Kami berdiri teguh bersama rakan-rakan kami di Denmark dalam isu ini dan pendirian itu tidak akan berubah,” tambah beliau.
Trump telah berulang kali menyatakan hasratnya untuk menguasai Greenland – wilayah pemerintahan sendiri dalam kerajaan Denmark – dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa ketenteraan bagi tujuan itu. Susulan kenyataan itu, Naib Presiden AS, JD Vance telah melawat pangkalan tentera AS di Pituffik, utara Greenland pada akhir Mac lepas.
Greenland dan Denmark dengan tegas menolak pendekatan Trump.
Frederiksen kelmarin menegaskan bahawa kedaulatan sesebuah negara merupakan elemen teras orde dunia dan sebarang serangan terhadap prinsip serta nilai asas berkenaan tidak boleh dibiarkan. – Bernama
