Wednesday, January 8, 2025
30.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman sokong pengharaman bunga api pada malam Tahun Baharu

    BERLIN, 6 JAN – Hampir 1.5 juta rakyat Jerman menyokong usaha kesatuan polis hari ini untuk mengharamkan bunga api sempena Malam Tahun Baharu selepas sambutan baru-baru ini sekali lagi dicemari insiden kematian, kecederaan dan tangkapan.

    Para pengkritik telah lama berusaha menghentikan penggunaan bunga api secara besar-besaran di Jerman untuk menyambut Tahun Baharu, dengan alasan kebimbangan terhadap keselamatan, pencemaran udara, dan kesan traumatik terhadap haiwan peliharaan.

    Tahun ini, lima orang maut di seluruh Jerman dalam kemalangan berkaitan bunga api, termasuk peranti buatan sendiri yang berkuasa tinggi, manakala ramai lagi mengalami kecederaan akibat bunga api yang sah dan haram.

    Lebih 100 pegawai polis dilaporkan cedera di seluruh negara, termasuk kira-kira 30 di Berlin, yang terkenal dengan penggunaan roket dan mercun yang berlebihan, kadang-kala disasarkan ke arah pasukan penguat kuasa.

    “Keganasan besar-besaran terhadap rakan sekerja kami mesti dihentikan,” kesatuan polis kebangsaan GdP cawangan Berlin dalam satu petisyen yang diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri hari ini.

    Petisyen tersebut, yang telah mengumpulkan lebih 1.4 juta tandatangan, menyeru agar bunga api diharamkan, “supaya kita tidak lagi membincangkan puluhan kecederaan pada tahun depan.”

    Ia turut menyatakan bahawa “selama bertahun-tahun, perdebatan mengenai larangan bunga api hanya muncul beberapa hari sebelum Malam Tahun Baharu dan… sepanjang tahun, hampir tiada siapa membincangkannya. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlaku lagi tahun ini.” – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda