SCHWERIN, 4 NOV – Hampir sejuta ekor haiwan ternakan ditakai di Jerman ekoran penularan wabak selesema burung di negara itu, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Institut Friedrich Loeffler (FLI) kelmarin berkata penularan penyakit itu kini hampir menyamai rekod terburuk yang berlaku pada 2021.
“Kita menyaksikan permulaan awal gelombang jangkitan bagi 2025 dan kini perlu menunggu untuk melihat sama ada ia akan reda lebih awal,” kata jurucakap agensi kesihatan haiwan yang berpangkalan di Pulau Riems di Laut Baltik itu.
Jangkitan virus selesema burung H5N1 yang sangat mudah merebak telah dikesan di 66 ladang ternakan di seluruh Jerman sejak awal September, dengan hampir sejuta ekor haiwan ditakai sebagai langkah pencegahan.
Selain itu, hampir 300 ekor burung liar yang mati turut disahkan dijangkiti virus itu.
Menurut FLI, wabak itu menjejaskan keseluruhan 286 ladang ternakan, zoo dan pemilik persendirian, dengan lebih dua juta haiwan ternakan terpaksa dimusnahkan pada 2021.
Sekiranya kadar jangkitan terus meningkat, angka yang sama dijangka dicatat menjelang akhir tahun ini, kata jurucakap berkenaan.
Presiden FLI, Christa Kühn pula menegaskan bahawa jangkaan wabak ini akan berakhir dengan cepat adalah tidak realistik berikutan peningkatan mendadak kes baharu. – Bernama


