Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerman tawar peluang bagi syarikat ICT M’sia

    FRANKFURT, 31 Mac – Pasaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Jerman menawarkan potensi baik bagi syarikat ICT Malaysia untuk merebut peluang perniagaan yang tersedia daripada permintaan yang ada di negara itu.

    “Jerman adalah pasaran ICT terbesar Eropah mewakili kira-kira 20.6 peratus daripada jumlah pasaran Kesatuan Eropah bagi produk dan perkhidmatan ICT.

    “Ia juga merupakan pasaran kelima terbesar dunia menyumbang kira-kira 4.3 peratus daripada pasaran ICT global dengan nilai pasaran mencecah 157 bilion euro pada 2014,” kata Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Frankfurt, Badrul Hisham Hilal, kepada Bernama.

    Beliau berkata syarikat ICT Malaysia di bawah Misi Mempercepatkan Eksport ke Jerman mendapat perhatian utama semasa ekspo komputer, CeBIT 2017, yang diadakan di Hanover, baru-baru ini.

    “Pameran komputer terbesar dunia itu menarik kira-kira 200,000 pengunjung perdagangan semasa acara berlangsung selama lima hari itu yang berakhir 24 Mac,” katanya.

    Penyertaan Malaysia di pameran CeBIT itu diwakili Custommedia, Emgraft Systems, K-One Technology, Kyrol Security Labs, Malaysia Software Testing Board, SVI Technologies, Telekom Malaysia dan Cyberview.

    Para pegawai atasan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta wakil daripada kerajaan negeri Sabah dan Selangor turut menghadiri pameran itu.

    Beberapa syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu bertemu pelanggan Jerman yang mereka telah pun berjumpa sebelum ini di pameran berbeza seperti pameran Gulf Information Technology Exhibition (Gitex) di Dubai, kata Badrul Hisham.

    Beliau berkata wakil beberapa syarikat Jerman menyatakan mereka menimbang untuk membuka pusat data di luar negara.

    “Malaysia menawarkan prasarana yang canggih dan persekitaran mesra perniagaan bagi syarikat yang berminat membuka pusat data seumpama itu.

    “Oleh itu kami mengalu-alukan syarikat Jerman untuk menimbang Malaysia,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda