PELAKON Jerrika Hinton dilaporkan bakal meninggalkan siri popular Grey’s Anatomy hanya selepas empat musim bersama rancangan itu.
Menurut laporan dipetik dari E Online, Jerrika yang memegang watak sebagai Dr. Stephanie Edwards itu dikatakan tidak akan kembali selepas musim ke-13 berakhir.
Pengunduran pelakon itu dikatakan mempunyai kaitan dengan penglibatannya dalam sebuah siri terbaru terbitan HBO.
Selain itu, Jerrika juga terlibat dalam siri terbaru terbitan penerbit Grey’s Anatomy iaitu Shonda Rhimes berjudul Toast.

Pihak ABC bagaimanapun masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan berkenaan.
Sementara itu, nasib siri yang mengangkat kisah kedoktoran itu juga dikatakan masih tidak menentu apabila masih belum ada pengumuman berhubung musim terbaru Grey’s Anatomy.
Kali terakhir Grey’s Anatomy kehilangan pelakonnya adalah pada musim ke-12 apabila Sara Ramirez membuat keputusan meninggalkan siri itu.