PETALING JAYA, 17 NOV – ‘Demi Lencana Di Dada’ menjadi tema jersi baharu pasukan bola sepak Malaysia musim 2022-2024 yang dilancarkan Nike Malaysia kelmarin kira-kira sebulan sebelum kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dijadual bermula pada 20 Disember ini.
Jersi utama atau home, kekal menggunakan warna kuning sebagai warna dominan dengan hanya bahagian kolar berwarna hitam manakala jersi kedua atau away juga mengekalkan warna hitam sebagai warna utama di samping memiliki corak belang Harimau Malaya.
Tiga pemain Malaysia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee, V. Ruventhiran dan Ahmad Syihan Hazmi Mohamed masing-masing kelihatan segak menggayakan ketiga-tiga rekaan baharu jersi pasukan Malaysia termasuk set penjaga gol pada majlis pelancaran di sini.
Majlis tersebut disempurnakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bersama Pengarah Pemasaran Nike Asia Tenggara dan India, Chris Madsen.
“Jersi home kali ini tampil lebih unik sebenarnya apabila keseluruhan jersi berwarna kuning dan hanya di bahagian kolar bulatnya sahaja berwarna hitam.” – Bernama
