Friday, March 14, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jerudong Park diberi nafas baru

    Oleh Abdul Hakiim Yakof

    Gambar oleh Dean Kassim

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Julai – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah semalam berkenan melancarkan fasa kedua Taman Permainan Jerudong Park.

    Taman permainan tersebut akan menjadi tarikan pelancongan utama di negara ini dengan memperkenalkan permainan baru seperti water rides, simulator futuristik dan Eco-Adventure Kingdom.

    Yang Teramat Mulia berdua berkenan melancarkan taman itu dengan persembahan bunga api disertai dengan Scary Drop setinggi 50m. Mengiringi Yang Teramat Mulia berdua ialah Timbalan Menteri Kewangan yang juga Pengerusi Jerudong Park Club, Dato Seri Paduka Haji Hisham bin Haji Mohd Hanifah.

    Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap.

    Selepas pelancaran tersebut, Yang Teramat Mulia berdua berkenan menaiki kereta api Go-Po yang melalui jambatan menuju Telekombat Ride.

    YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan berangkat menghadiri majlis pelancaran fasa kedua Taman Permainan Jerudong Park.
    YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel dan YTM Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah berkenan berangkat menghadiri majlis pelancaran fasa kedua Taman Permainan Jerudong Park.
    YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan merasakan sendiri permainan yang disediakan.
    YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel berkenan merasakan sendiri permainan yang disediakan.

    Yang Teramat Mulia berdua kemudian berkenan menyaksikan acara demonstrasi zipline dari rekrut-rekrut Program Khidmat Bakti Negara (PKBN). Dari dek tinjauan, Yang Teramat Mulia berdua dapat melihat menara Eco-Adventure Kingdom dari jarak 220 meter dan seterusnya merasakan sendiri X-Rider 4D Simulator dan Valykrie yang juga permainan menembak interaktif 4D Motion Simulator.

    Tinjauan terhadap kawasan baru itu diteruskan dengan perjalanan menuju ke The Plunge Lagoon, permainan tunggangan di atas air yang di hujungnya menghasilkan percikan air besar. Yang Teramat Mulia berdua kemudiannya berkenan merasakan sendiri Ice World Arctic Rapids, permainan tunggangan air yang memuatkan empat penumpang.

    Antara permainan baru yang kini terdapat di Taman Permainan Jerudong Park.
    Antara permainan baru yang kini terdapat di Taman Permainan Jerudong Park.

    Yang Teramat Mulia berdua juga berkenan mengunjungi Taman Kids Andventure Indoor Playground dan kemudian menyaksikan persembahan seni bela diri dari 35 rekrut PKBN di kawasan kanopi besar. Perasmian semalam daripada Yang Teramat Mulia berdua diakhiri dengan menaiki Pirate Ship.

    Berikutan kejayaannya pelancaran semula taman itu pada tahun 2014, kawasan baru itu menandakan langkah-langkah penting yang berterusan dalam membangkitkan semula Jerudong Park.

    Fasa kedua di Taman Permainan Jerudong Park itu memperkenalkan lapan permainan baru iaitu Scary Drop, Telekombat, 4D Simulator, The Plunge Lagoon, Ice World Arctic Rapids, Eco-Adventure Kingdom, Kids Adventure Indoor Playground dan The Pirate Ship.

    Taman Permainan Jerudong Park ketika ini memiliki lebih 30 permainan tunggangan dan tarikan yang menjadikannya salah sebuah taman permainan terbesar di Borneo.

    Juga hadir pada perasmian tersebut adalah perwakilan-perwakilan dari sektor awam dan swasta, lebih daripada 900 penuntut terdiri dari Tahun 4 dan Tahun 5 dari Sekolah Rendah Jerudong, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB).

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda