Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jessie J dedah hidap kanser payudara

    Penyanyi Jessie J mengejutkan peminat apabila mendedahkan dia menghidap kanser payudara peringkat awal.

    Jessie atau Jessica Ellen Cornish, 37, bagaimanapun berkata, dia menerima berita berkenaan dengan positif dan bersyukur kerana ia masih di peringkat awal.

    Kata Jessie, dia akan menjalani pembedahan selepas menjayakan persembahan di festival muzik London Capital’s Summertime Ball pada 15 Jun ini, menurut laporan mStar.

    “Saya disahkan menghidap kanser payudara peringkat awal.

    “Kanser adalah benda buruk dalam apa jua bentuk tetapi saya berpegang pada perkataan ‘awal’ .

    “Saya akan berehat buat sementara selepas Summertime Ball untuk menjalani pembedahan,” katanya.

    Jessie berkongsi perkara itu menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagramnya pada Rabu.

    Kata Jessie, dia mendedahkan perkara itu pada umum selepas berbincang dengan orang sekelilingnya.

    Tambah pula Jessie dikenali sebagai penyanyi yang tiada rahsia dengan peminat dan sentiasa berkongsi kehidupan peribadinya di media sosial.

    “Saya mahu berkongsi dengan peminat saya kerana saya seorang yang suka berkongsi.

    “Saya sentiasa berkongsi semua yang saya lalui dalam hidup saya,” ujarnya.

    Ini bukan kali pertama Jessie bercakap secara terbuka tentang kesihatannya pada umum.

    Pada usia 9 tahun, Jessie disahkan menghidap penyakit jantung yang diwarisi daripada bapanya.

    Malah penyanyi lagu Price Tag itu pernah diserang angin ahmar pada usia 17 tahun.

    Pada 2021, Jessie sekali lagi diduga apabila mengalami keguguran dan diberitahu dia tidak boleh mengandung.

    Bagaimanapun keajaiban berlaku apabila Jessie menimang cahaya mata lelaki yang diberi nama Sky pada 2023.

    Jessie mengejutkan peminat selepas dedah dia hidap kanser payudara.- mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda