Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jessie J hadapi cabaran selepas pembedahan kanser payudara

    Penyanyi antarabangsa Jessie J mengaku berdepan hari-hari yang mencabar selepas sebulan menjalani pembedahan kanser payudara.

    Dalam satu hantaran terbaharu di Instagram, Jessie atau Jessica Cornish, 37, memberitahu dia kini dalam proses pemulihan dan berada dalam keadaan baik.

    “Genap sebulan saya menjalani pembedahan kanser payudara. Saya rasa lebih baik. Ada hari yang lebih sukar daripada biasa.

    “Pergerakan saya juga semakin baik. Walaupun masih sakit, tetapi saya rasa kembali menjadi diri sendiri. Daripada segi mental, semuanya berada dalam keadaan normal.

    “Beri saya ruang untuk benar-benar merasai semuanya. Ia satu perjalanan roller coaster,” katanya.

    Jessie turut memberitahu anak lelakinya, Sky Safir Cornish Colman kini sedang bercuti bersama keluarga di Denmark sementara dia berehat dan menjalani fisioterapi.

    “Sky ikut ayahnya ke Denmark untuk berjumpa keluarga, Jadi saya boleh berehat dan menjalani fisioterapi,”katanya.

    Tambahnya, antara cabaran paling besar yang terpaksa dilalui beberapa bulan lalu adalah tidak dibenarkan mendukung anaknya sekali gus memberikan tekanan emosi yang cukup hebat, menurut laporan mStar.

     “Saya tak dibenarkan mendukung Sky selama beberapa bulan dan ini sangat mencabar. Saya cuma nak peluk dia, tapi saya sedar ini adalah pengorbanan kecil demi kesihatan selain untuk memastikan saya terus hidup.

    “Saya percaya akan tiba hari di mana saya boleh peluk dan dukung dia lagi. Saya tak sabar menanti hari itu kerana ia memberi kekuatan untuk saya melalui hari-hari sekarang. Saya sayangkan kamu, Sky. Saya rindu anak dan pasangan saya.”

    Terdahulu Jessie mendedahkan dia telah didiagnosis menghidap kanser payudara peringkat awal dan merancang untuk menjalani pembedahan.

    Sepanjang hidupnya, Jessie turut berdepan pelbagai masalah kesihatan termasuk penyakit jantung sejak berusia lapan tahun, mengalami strok kecil pada usia 18, dan kehilangan pendengaran buat sementara waktu pada 2020. – Agensi

    Sabtu lalu genap sebulan Jessie J menjalani pembedahan selepas menghidap kanser payudara. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda