LONDON, 3 OGOS – Penyerang Brazil, Gabriel Jesus akan terlepas permulaan musim baharu Liga Perdana selepas menjalani pembedahan kecil, kata bos Gunners, Mikel Arteta kelmarin.
“Malangnya, dia menjalani pro-sedur kecil pagi ini,” kata Arteta selepas Arsenal menang dalam penentuan sepakan penalti ke atas Monaco dalam perlawanan persahabatan pra-musim.
“Dia mengalami sedikit ketidakselesaan pada lututnya yang telah menyebabkan beberapa masalah dan mereka terpaksa melakukan pembedahan untuk menyelesaikannya. Ia bukan sesuatu yang besar tetapi saya rasa dia akan terkeluar untuk beberapa minggu.
“Ia adalah satu tamparan hebat kerana kami baru sahaja mendapat tahap terbaiknya, terutamanya dalam cara dia bermain menentang Barcelona, dan dia berada dalam keadaan baik tetapi kami kehilangannya.”
Jesus terlepas tiga bulan musim lalu selepas mengalami kecederaan lutut di Piala Dunia, mempamerkan aksi mengagumkan setelah berpindah dari Manchester City.
Arsenal akan bertemu juara Liga Perdana, Manchester City dalam Piala Komuniti di Wembley pada Ahad sebelum memulakan kempen liga mereka di laman sendiri menentang Nottingham Forest pada 12 Ogos. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P22-2A-AP_04082023.jpg)