LONDON, 19 DIS – Mikel Arteta dakwa Gabriel Jesus ‘kembali ke tahap terbaiknya’ selepas pemain Brazil dengan jaringan hatriknya membawa Arsenal ke separuh akhir Piala Liga apabila menang 3-2 menentang Crystal Palace kelmarin.
Pasukan Arteta mengalami kejutan awal pada suku akhir di Stadium Emirates apabila Jean-Philippe Mateta meletakkan Palace di hadapan.
Tetapi Jesus memastikan The Gunners kekal dalam saingan untuk memenangi Piala Liga buat kali pertama sejak 1993 ketika penyerang itu melakar tiga kali gerakan klinikal selama 27 minit pada separuh masa kedua.
Jesus memulakan permainan dengan hanya dua gol pada 2024 dan hanya satu daripada 20 penampilan sebelum musim ini, menimbulkan cadangan dia boleh dijual apabila jendela dibuka dibuka pada 1 Januari.
“Saya memakai nombor sembilan untuk Arsenal jadi saya perlu menjaringkan gol, Kai Havertz juga. Kami adalah penyerang pasukan dan mempunyai tekanan untuk menjaringkan gol,” akui Jesus selepas hatriknya.
“Jika awda mahu mencabar tempat, kami perlu terus menjaringkan gol. Ia bukan mudah, jika begitu, pasti ada ramai penyerang di dunia, tetapi kami terus mencuba.”
Arteta telah menyokong Jesus secara terbuka dan bekas penyerang Manchester City itu membalas kepercayaan pengurusnya dengan persembahannya yang hebat dan boleh memberi nafas baharu dalam kariernya sendiri dan juga kempen Arsenal.
“Saya sangat gembira untuknya. Ia adalah tempoh yang lama tanpa gol dan hari ini dengan tiga gol yang dia jaringkan dan banyak aksi yang dia terlibat, dia kelihatan sangat selesa,” kata Arteta.
“Ia adalah satu perkara yang hebat untuknya dan pasukan dan kami boleh bergantung kepada pemain yang berkualiti seperti itu. Ia adalah mesej besar untuk pasukan bahawa Gabi kembali pada tahap terbaiknya.
“Saat ini akan memberi banyak keyakinan kepadanya. Sekarang kami memberinya lebih banyak permainan dan peluang. Apabila pemain berada pada masa itu, adalah penting bagi mereka untuk meneruskannya,” sambung Arteta. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/12/3-Arsenal_F.jpg)