Bintang aksi terkenal antarabangsa, Jet Li telah dilaporkan selamat menjalani pembedahan membuang tumor di sebuah hospital di China, baru-baru ini.
Perkara tersebut menjadi buah mulut peminatnya selepas Jet Li, 62, berkongsi foto berada di atas katil hospital tanpa menyatakan secara terperinci tentang penyakit dialami.
Namun, menurut rakannya yang juga produser filem iaitu Tiffany Chen berkata, aktor tersebut dirawat di hospital disebabkan tumor. Menerusi satu hantaran dalam Weibo, Li berkata dia ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana masalah ‘dalaman’.
“‘Perkakasan’ dalaman telah rosak dan perlu kembali ke ‘kilang’ (hospital) untuk dibaiki,” katanya berseloroh.
Menurut Kosmo, beliau turut berterima kasih kepada para peminatnya yang sentiasa prihatin dan mendoakan kesihatannya.
Terdahulu, Li pada tahun 2010 mendedahkan beliau menghidap hipertiroidisme iaitu keadaan apabila kelenjar tiroid menghasilkan hormon berlebihan.
Penghidap biasanya akan mengalami simptom seperti tangan menggeletar dan penurunan berat badan. – Agensi


