Jet pejuang China amaran kepada Taiwan

TAIPEI, 23 SEPT – China hari ini menghantar 19 jet pejuang ke arah pulau Taiwan, satu langkah mempamerkan kekuatannya, selepas pulau itu me-ngumumkan hasratnya menyertai kumpulan perdagangan 11 negara Pasifik yang mana China juga memohon bagi penyertaannya.

Taiwan mengerahkan angkatan peronda udara dalam respons terhadap jet China itu dan menjejakinya melalui sistem pertahanan udara mereka, kementerian pertahanan pulau itu menjelaskan dalam satu kenyataan.

Antara jet-jet itu, sebahagiannya terbang dalam laluan panjang bentuk L termasuklah 12 jet J-16 dan dua J-11 serta pesawat pengebom dan pesawat antisubmarin.

China sudah pun menghantar beberapa jet pejuang ke arah Taiwan hampir setiap hari dalam masa setahun lalu.

Ia meningkatkan amaran tenteranya ke atas pulau itu dan menghantar sejumlah besar jet pejuang untuk mempamerkan kekuatannya selepas peristiwa politik yang dianggapnya campur tangan dalam kedaulatannya.

Taiwan dan China berpecah semasa perang saudara dalam 1949, namun China terus mendakwa Taiwan sebagai sebahagian daripada wilayahnya. Beijing juga membantah sebarang penglibatan Taiwan dalam badan-badan antarabangsa.

Amaran hari ini adalah susulan pengumuman Taiwan bahawa ia memohon untuk menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif Perkongsian Trans-Pasifik, yang berpotensi mem-bawa kepada perbalahan dengan Beijing. – AP

Gambar serahan Taiwan menunjukkan jet pejuang China di sebuah lokasi yang tidak didedahkan. China hari ini menghantar 19 jet pejuang, mempamerkan kekuatannya sehari selepas Taiwan mengumumkan ia mahu menyertai kumpulan perdagangan 11 negara Pasifik. – AP