SEOUL, 6 MAC – Seramai 15 orang cedera hari ini selepas dua jet pejuang KF-16 milik Tentera Udara Korea Selatan secara tidak sengaja menjatuhkan lapan bom air-to-surface di luar kawasan latihan di Pocheon, lapor Agensi Berita Yonhap.
Insiden itu berlaku sekitar 10:04 pagi waktu tempatan dan mengakibatkan kecederaan kepada 15 orang, termasuk dua anggota tentera dan dua warga asing.
Kejadian itu turut menyebabkan kerosakan kepada sebuah gereja dan tujuh bangunan lain.
Pihak bomba memaklumkan bahawa dua lelaki mengalami kecederaan serius di bahagian muka dan bahu, namun dilaporkan stabil.
Lapan mangsa lain yang mengalami cedera ringan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
Jumlah mangsa cedera dijangka meningkat berikutan lebih ramai individu tampil mendapatkan rawatan.

Seramai 50 penduduk di kawasan itu telah dipindahkan ke dewan bandar berhampiran sebagai langkah keselamatan.
Pegawai tentera berkata pesawat tempur KF-16 yang terlibat dalam latihan itu, “secara tidak sengaja” menjatuhkan empat bom MK-82 setiap satu.
Tentera Udara Korea Selatan telah melancarkan siasatan terhadap insiden itu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Staf Leftenan Jeneral Park Ki-wan.
“Kami memohon maaf atas kerosakan yang menimpa orang awam akibat kejadian ini serta berharap mangsa yang cedera segera pulih.
“Kami akan mengambil semua langkah yang diperlukan, termasuk pampasan bagi kerosakan yang berlaku,” menurut kenyataan Tentera Udara Korea Selatan.
Terdahulu pada hari yang sama, Korea Selatan dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama berhampiran sempadan antara Korea demi menghadapi ancaman ketenteraan Korea Utara menjelang latihan tahunan mereka bulan ini.
Latihan itu diadakan di Seungjin Fire Training Field di Pocheon, dengan mengerahkan lebih 160 aset ketenteraan termasuk kereta kebal K2, howitzer K55A1, helikopter serangan Apache dan pesawat stealt F-35A, menurut Tentera Darat. – Bernama