Thursday, December 26, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jetcraft tubuh pejabat baharu di S’pura

    LONDON, 4 OKT – Jetcraft, peneraju dunia di dalam penjualan dan pemerolehan jet perniagaan, telah mengumumkan pembukaan sebuah pejabat di Singapura untuk menyokong pertumbuhan di Asia Tenggara dan merentasi seluruh rantau itu.

    Pejabat itu akan diketuai oleh Tim Yue, yang pada masa ini berpusat di Hong Kong dan mempunyai pengalaman lebih dari satu dekad dalam penerbangan perniagaan. Tim akan bekerjasama rapat dengan Presiden Jetcraft Asia, David Dixon, yang akan menyelia semua aktiviti di rantau itu.

    David Dixon berkata, “Asia kekal sebagai sebuah pasaran penting bagi Jetcraft oleh itu memperluaskan tapak kehadiran kami ke Singapura adalah satu langkah yang logik, memberikan bukti seterusnya mengenai komitmen jangka panjang kami untuk melayani pangkalan pelanggan global kami dan akses pasaran yang tiada tandingannya.

    “Singapura telah menyaksikan pertumbuhan yang signifikan dalam penerbangan perniagaan dan pelbagai kemudahan penyelenggaraan di Taman Aeroangkasa Seletar, yang dipadankan dengan peranan serantaunya dalam sektor perkhidmatan kewangan, menjadikannya sebuah lokasi yang optimum. Di seluruh dunia, nilai sebenar bagi penerbangan perniagaan semakin direalisasikan dan kami didorong oleh sebilangan besar pembeli kali pertama yang memasuki industri kami, walaupun baru-baru ini dalam cara yang tidak dijangka.”

    Jetcraft yang beribu pejabat di United Kingdom pertama kali mewujudkan kehadiran mereka di Asia di Hong Kong pada tahun 2012, diikuti dengan pembukaan sebuah lokasi tambahan di Gold Coast, Australia. Jetcraft akan merekrut sebuah pasukan tempatan di Singapura, serta menempatkan semula pekerja yang ada. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda