Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Jetro jangka peningkatan eksport makanan laut Jepun ke Malaysia pada 2024

    KUALA LUMPUR, 11 FEB – Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) menjangkakan eksport makanan laut Jepun ke Malaysia pada tahun ini meningkat berikutan pertumbuhan pesat industri pelancongan dan kelemahan yen.

    Pengarah Urusan Jetro Kuala Lumpur, Koichi Takano berkata harapan terhadap pertumbuhan ekonomi yang lebih baik di Malaysia akan turut mendorong permintaan terhadap makanan laut Jepun.

    “Kerajaan Jepun telah membuat penjelasan yang teliti mengenai keselamatan makanan laut Jepun berdasarkan bukti saintifik mengikut piawaian antarabangsa dan melaksanakan semua langkah pencegahan selamat yang sewajarnya,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

    Pada 24 Ogos tahun lepas, Jepun memulakan pelepasan air terawat ke lautan dari loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi, yang telah musnah akibat tsunami pada 2011.

    Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) memaklumkan pelepasan air terawat dalam Sistem Pemproses Cecair Lanjutan (ALPS) ke lautan yang dicadangkan oleh Tokyo Electric Power Company (Tepco) selaku operator loji nuklear itu, mempunyai kesan radiologi yang kecil kepada alam sekitar dan manusia.

    “Kami menggalakkan pengedar, restoran dan peruncit Malaysia untuk mengimport lebih banyak produk Jepun, termasuk makanan laut dan makanan diproses,” kata Takano.

    Beliau berkata berdasarkan statistik perdagangan rasmi kerajaan Jepun yang terkini, negara itu mengeksport sebanyak 4.369 bilion yen (100 yen = RM3.18) hasil laut seperti ikan, telur ikan, krustasia dan hasil laut dalam tin, ke Malaysia dari Januari hingga Disember 2023, peningkatan 16 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022. – Bernama

    Takano (tiga, kanan) bergambar pada Pesta Makanan Laut Jepun 2024 di Kuala Lumpur yang berlangsung dari 26 hingga 28 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...