‘Jho low antara pencatur politik’

KUALA LUMPUR, 10 SEPT – Bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, ahli perniagaan yang menjadi buruan, Low Taek Jho atau Jho Low adalah antara pencatur politik Najib dan penglibatannya tidak terbatas kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, 43, berkata Jho Low adalah salah seorang individu yang menasihatkan bekas perdana menteri itu mengenai rancangan politik dan pilihan raya di negara ini.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pada hari keenam perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi pertuduhan berkaitan 1MDB.

Rabu lepas, saksi kelapan pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa Jho Low adalah seorang ahli strategi dalam bidang pelaburan, berunding antara Kerajaan dan Kerajaan atau ‘G2G’, serta pencatur politik Najib, termasuk dana yang dikumpulkan oleh bekas perdana menteri.

Amhari Efendi berkata Jho Low adalah penasihat tidak rasmi Najib kerana dia adalah salah seorang individu yang mempunyai hubungan rapat dengan Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dia dapat memberi nasihat dan berbincang dengannya.

Beliau menambah, tidak ramai di Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengetahui mengenai pelantikan Jho Low, selain para pegawai kanan seperti ketua setiausaha sulit Najib, Allahyarham Datuk Azlin Alias.

Amhari Efendi juga berkata beliau tidak mengetahui bahawa Jho Low dilantik sebagai penasihat syarikat kepada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) pada 8 April 2009.

Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Istana Negara bagi pihak Sultan Mizan, yang merupakan Sultan Terengganu, telah menimbulkan kebimbangan mengenai peranan Jho Low dalam TIA, menurut minit syarikat.

Menurut minit itu, seorang wakil Istana Negara mempersoalkan siapa dan apakah peranan Jho Low kerana pihak Istana bimbang bahawa ahli perniagaan itu telah menyalahgunakan nama Agong pada masa itu.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dasn 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan keempat-empat kesalahan tersebut di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011, dan 19 Disember, 2014, dan bagi 21 pertuduhan itu, antara 22 Mac, 2013, dan 30 Ogos, 2013, di tempat yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – Bernama