Pengacara Jihan Muse mengumumkan dia dan suami iaitu Ungku Hariz bakal menimang cahaya mata ketiga tidak lama lagi.
Khabar gembira itu dikongsikan oleh Jihan atau Nuur Jihan Musa, 40, menerusi satu hantaran video di Instagram pada Isnin. Malah, pengacara program Gegar Vaganza ini turut meluahkan rasa syukur menerima kehamilan anak ketiga itu.
“Berita yang tak dijangka dan reaksi yang tidak dijangka,” katanya.
Menerusi hantaran video tersebut, Jihan berkongsi momen reaksi ahli keluarganya apabila mengetahui khabar gembira tersebut. Rata-rata dilihat terkejut dan teruja menyambut berita kehamilan yang datang daripada Hariz itu.
Jihan bagaimanapun tidak berkongsi lanjut mengenai usia kandungannya berkenaan.
Untuk rekod, Jihan dan Hariz mendirikan rumah tangga pada 29 Mac 2016. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki iaitu Ungku Arsalan Haq, 6, dan Ungku Altamis Barr Khas, 2. – Agensi
