Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa telah mengadakan Majlis Ceramah Khas sempena Sambutan Awal Tahun 1442 Hijrah yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, kementerian berkenaan, hari ini.
Majlis yang dikelolakan oleh Jabatan Pengangkutan Darat itu dihadiri oleh Menteri Pengangkutan dan Info-komunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Ceramah khas bertajuk ‘Generasi Berilmu, Beramal dan Berakhlak Memacu Pembangunan Umat’ telah disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Haji Sammali bin Haji Adam. Dalam ceramahnya, Haji Sammali antara lain menyentuh lebih mendalam mengenai tiga perkara yang dinyatakan dalam tajuk ceramah beliau.
“Kita sebagai warga perlu ada ilmu, jangan hanya mementingkan ilmu dunia, ingat jua tentang ilmu akhirat.
“Ilmu dunia kita cari, tetapi ilmu akhirat pun perlu kita jadikan bekalan kerana ilmu inilah yang akan membentuk sahsiah di dalam (dalaman atau rohani) sebab rohani ini adalah suatu perkara yang penting,” tegas Haji Sammali.

Setelah melihat dari segi ilmu, beliau mengingatkan untuk tidak lupa meningkatkan amal ibadah kepada Allah SWT.
Beliau turut menjelaskan, “Ilmu adalah lebih kepada teori, amal adalah lebih kepada praktikal. Jadi kita melihat di sana bagaimana kita mempraktikkan segala ilmu ini kepadaNya. Setiap praktikal (amal) yang akan kita laksanakan adalah berdasarkan daripada ilmu yang kita pelajari.”
Beliau menekankan bahawa kita hidup jangan kurang beramal kerana kehidupan tanpa amal adalah ibarat pohon yang tidak ada buahnya.
Selain itu, Haji Sammali juga menasihatkan bahawa sebagai warga, yang paling mustahak adalah hiasi diri dengan akhlak yang mulia.
“Kita ada ilmu pun, kalau tidak ada akhlak tidak berguna. Sedikit adab itu adalah lebih baik daripada kita banyak ilmu,” kongsinya.
Menurut beliau, dengan warga atau generasi yang berilmu, beramal dan berakhlak, akan memacu pembangunan atau perkembangan dalam satu warga tersebut ke arah mencapai kecemerlangan di dunia mahupun di akhirat.
Acara tersebut merupakan aktiviti keagamaan tahunan kementerian yang bertujuan untuk menyemarakkan hari-hari kebesaran Islam di samping mendapatkan ganjaran pahala berlipat ganda dari Allah SWT.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Sekuriti Siber, Strategi dan Korporat), Haji Hairul Mohammad Daud bin Haji
Abdul Karim, ketua-ketua eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), dan Pihak Berkuasa Maritim Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), para pengarah jabatan dan bahagian, pegawai kanan serta kakitangan kementerian.