Gara-gara menyarankan umat Islam meraikan Maulidur Rasul secara sederhana, Pencetus Ummah (PU) Abu dituduh berfikiran liberal dan seolah-olah melupakan hari penting Nabi Muhammad SAW.
Tampil menjawab komen ditinggalkan pengikutnya itu, Abu atau Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 29, berkata dia cuma tidak bersetuju dengan cara sambutan itu diadakan secara berlebih-lebihan.
Baginya, Nabi Muhammad perlu dicintai setiap hari dan bukanlah hanya pada perayaan tertentu sahaja.
“Jika membela sunnah Nabi itu dilabelkan sebagai liberal, silakan melabel lagi dan lagi. Kita perlu diajar untuk sayang Nabi setiap hari.
“Saya bukan tidak setuju dengan sambutan Maulidur Rasul, tetapi saya tidak setuju cara kita merayakan Maulid Nabi itu,” katanya menerusi satu perkongsian di Instastory kelmarin.
Dia menulis perkara tersebut sebagai membalas satu komen yang menganggap pandangannya satu fahaman liberal kerana mengajak orang ramai merayakan sambutan Maulidur Rasul secara bersederhana, kongsi mStar.
Dalam pada itu, Abu juga mengajak orang ramai supaya lebih melakukan aktiviti pengisian jiwa sebagai tanda sayang terhadap Nabi Muhammad SAW.
“Sekiranya sayangkan Nabi, buat tiga perkara iaitu amalkan sunah Baginda, perbanyakkan selawat dan belajar kisah sirah hidup Baginda,” kongsinya. – Agensi
