BRATISLAVA, 9 MEI – Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS) Jill Biden mengadakan lawatan mengejut ke Ukraine semalam, bertemu dengan rakan sejawatan Ukraine Olena Zelenska di sebuah sekolah yang berfungsi sebagai tempat perlindungan sementara kepada orang awam yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan.
“Saya ingin datang pada Hari Ibu. Saya fikir ia penting untuk menunjukkan kepada penduduk Ukraine bahawa peperangan ini perlu dihentikan dan peperangan ini adalah kejam dan rakyat AS berdiri bersama penduduk Ukraine,” beritahu Biden kepada wartawan.
Biden berkunjung ke Ukraine dari Slovakia sebagai sebahagian daripada kunjungan serantau yang termasuk Romania dan bertujuan menunjukkan sokongan AS terhadap Ukraine dan negara-negara yang membantunya selepas serangan Rusia.
Seorang pegawai AS yang berkunjung bersama isteri Presiden Joe Biden juga berkata ia merupakan penampilan pertama Zelenska di khalayak umum sejak Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari.
Zelenska mengucapkan terima kasih kepada Biden ‘atas tindakan yang amat berani.’
“Disebabkan kami memahami risiko yang diambil oleh wanita pertama AS untuk datang ke sini semasa peperangan apabila serangan tentera berlaku setiap hari, di mana siren berbunyi setiap hari, malah hari ini,” beritahunya kepada Biden.
“Kami juga merasa kasih sayang dan sokongan awda pada hari yang bermakna ini,” kata Zelenska.
Selepas mesyuarat pintu tertutup, wanita pertama berkenaan menyertai kanak-kanak tempatan dalam sebuah bilik darjah menghasilkan beruang kadbod dan kertas tisu untuk dijadikan hadiah kepada ibu mereka.
Selepas lawatan mengejut ke Ukraine, Biden kembali ke Slovakia. – AFP