Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIM Labuan tahan 10 pendatang tanpa izin termasuk kanak-kanak

    LABUAN, 13 NOV – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan menahan 10 pendatang tanpa izin, termasuk kanak-kanak, dalam serbuan di kawasan penempatan di sekitar pulau itu, pada 8 November lepas.

    Pengarah Imigresen Labuan, Raymond Entalai, berkata dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, sebanyak sembilan warga Filipina terdiri daripada empat lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak serta seorang rakyat Indonesia ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

    “Kesemua mereka yang berumur antara lima hingga 50 tahun didapati melanggar Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155] kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Raymond berkata mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut dan dokumentasi sebelum dihantar pulang.

    Beliau berkata JIM Labuan akan terus menjalankan operasi serupa dari semasa ke semasa untuk membendung kehadiran pendatang tanpa izin serta memberikan amaran kepada tuan tanah dan majikan yang didapati melindungi dan mengupah imigran ini boleh dikenakan tindakan tegas.

    “JIM Labuan komited untuk memastikan semua warga asing yang menetap atau bekerja di sini mematuhi undang-undang imigresen sepenuhnya,” katanya. – Bernama

    Pendatang tanpa izin ditahan dalam serbuan di sebuah kawasan petempatan, di sekitar Labuan, pada 8 November lalu. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda