Khamis, November 20, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIM Labuan tahan enam wanita warga Filipina dalam dua serbuan

    LABUAN, 14 NOV – Jabatan Imigresen (JIM) Labuan menahan enam wanita pendatang tanpa izin dalam dua serbuan berasingan di sekitar pusat bandar Labuan menerusi Op Dandan dan Op Gegar, Rabu lalu.

    Pengarah Imigresen Labuan, Raymond Entalai, berkata dalam serbuan bermula 8 hingga 11 malam itu, pihaknya memeriksa beberapa premis perniagaan termasuk pusat urut yang disyaki menggaji pekerja tanpa dokumen sah.

    “Kesemua wanita ditahan merupakan warga Filipina berusia antara 20 hingga 30 tahun. Mereka ditahan hasil pemeriksaan terhadap 17 individu terdiri daripada lapan rakyat tempatan dan sembilan warga Filipina,” katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata serbuan terbabit dijalankan selepas pihaknya bertindak atas pemantauan dan maklumat risikan, manakala pemeriksaan terhadap enam wanita berkenaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta disyaki bekerja tanpa permit sah.

    “Kesemua wanita terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Labuan dan Depoh Imigresen Labuan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – Bernama

    Pusat urut yang disyaki menggaji pekerja tanpa dokumen sah dalam serbuan tersebut. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda