PUTRAJAYA, 25 NOV – Jabatan Imigresen (JIM) akan memperkenalkan pas khas dalam talian (eSP) bermula Januari 2025, iaitu satu daripada inisiatif mentransformasi penyampaian perkhidmatan ke arah pendigitalan dan mempercepat urusan kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Pas khas merupakan satu dokumen yang dikeluarkan kepada warga asing bertujuan untuk memberi hak kepada pemegang untuk masuk dan tinggal di Malaysia tidak melebihi tiga puluh hari berdasarkan kepada peraturan 14, Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Menurut Saifuddin Nasution, ketika ini urusan permohonan dan pengeluaran pas khas dilaksanakan secara manual iaitu pemohon perlu hadir ke kaunter dan mengemukakan dokumen secara fizikal.
“Secara purata, 50 peratus daripada jumlah urus niaga di kaunter Pas Lawatan Sosial dan Ikhtisas di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen adalah berkaitan permohonan pas khas dan hal ini mengakibatkan kesesakan.
“Pelaksanaan eSP ini akan membantu mengurangkan kesesakan pelanggan yang hadir berurusan di kaunter serta menerapkan budaya kerja baharu secara silent office,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini, yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Untuk rekod, pada 2023, sebanyak 139,344 pas khas telah dikeluarkan manakala setakat Oktober tahun ini, sebanyak 119,019 pas khas telah dikeluarkan kepada warga asing. – Bernama