Sunday, April 13, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIM Sabah hantar pulang 670 warga Filipina

    SANDAKAN, 11 APRIL – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 670 pendatang tanpa izin warga Filipina ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

    Pengarahnya, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata proses itu melibatkan tahanan di Depot Imigresen Sandakan serta Kota Kinabalu, yang terdiri daripada 536 lelaki, 89 wanita, 21 kanak-kanak lelaki dan 24 kanak-kanak perempuan berumur setahun hingga 79 tahun.

    “Kesemua tahanan yang dipindahkan dipercayai dengan munasabah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) serta 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit sah selain tinggal lebih masa.

    “Kesemua mereka juga telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan ke negara asal setelah lengkap dokumen perjalanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata proses penghantaran itu juga mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina yang mengeluarkan dokumen perjalanan kepada kesemua tahanan berkenaan bagi penghantaran pulang ke Zamboanga City, Filipina.

    Sh Sitti Saleha berkata sejak awal tahun hingga hari ini, Jabatan Imigresen Sabah merekodkan penghantaran pulang 3,370 warga Filipina ke negara asal, dan kesemua tahanan terlibat itu akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia berdasarkan kesalahan dilakukan. – Bernama

    Gambar fail bertarikh 7 Februari 2024 menunjukkan pendatang asing tanpa izin menaiki kapal pada program pemindahan warganegara Filipina di Pelabuhan Sandakan. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda