Friday, October 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIM tahan 121 PATI di Sandakan

    SANDAKAN, 3 OKT – Seramai 121 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen (JIM) di Sandakan yang bermula 10 pagi semalam hingga 4 pagi hari ini.

    Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embak Taha berkata PATI berkenaan terdiri daripada warganegara Filipina serta Indonesia dan akan ditempatkan di depot tahanan Imigresen Sandakan untuk siasatan lanjut.

    “Kesemua yang di tahan berumur antara 12 bulan hingga 65 tahun terdiri daripada 46 orang lelaki dewasa, 36 perempuan dewasa dan 32 kanak-kanak,” katanya pada sidang media di Sandakan hari ini.

    Sementara itu, seramai tiga orang warganegara Malaysia disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 55(B) turut ditahan dalam operasi itu.

    Jafri Embak berkata antara kesalahan dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri 6 (1) (c), dan 15 (1) (c) iaitu tinggal lebih masa, serta kesalahan lain di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 melibatkan warganegara Malaysia mengambil pekerja bukan warganegara atau bukan pemegang pas sah.

    Beliau berkata sehingga 30 September lepas, JIM Sabah telah menjalankan sebanyak 1,197 operasi dengan 23,692 orang diperiksa dan 4,324 orang telah ditangkap, manakala 34 majikan didakwa. – Bernama

    Jafri Embok Taha (kiri) mendengar sesuatu daripada seorang PATI yang ditahan sebelum sidang media berkaitan Operasi Penguatkuasaan Imigresen di Depot Imigresen Sandakan hari ini. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda