Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIM tahan 268 warga asing dalam Op Kutip

    KOTA BHARU, 5 JAN – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 268 warga asing dalam Op Kutip yang dijalankan di sekitar Kota Bharu, Kelantan dan Kuala Terengganu, hari ini.

    Di Kelantan, Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Pengurusan), Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata operasi itu, yang turut melibatkan kerjasama pihak polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan Majlis Perbandaran Kota Bharu, bermula 10 pagi.

    Beliau berkata majoriti yang ditahan ialah warga Myanmar iaitu 122 orang (115 lelaki, 3 wanita dan 4 kanak-kanak).

    “Warga asing lain yang turut ditahan ialah Bangladesh (76), Indonesia (15), Thailand (6), Pakistan (3), India (3), Thailand (6) dan Nepal (13) kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

    Nik Akhtarulhaq juga menggesa orang ramai supaya tampil menyalurkan maklumat mengenai pendatang tanpa izin atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

    “Kesemua warga asing ini akan menjalani proses dokumentasi oleh pihak jabatan untuk tindakan selanjutnya dan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara serta bersubahat dalam melindungi pendatang tanpa izin,” katanya.

    Di Kuala Terengganu, Pengarah JIM negeri, Azhar Abdul Hamid berkata pihaknya telah memeriksa 220 warga asing termasuk dari Bangladesh, Nepal, Myanmar, Pakistan, Indonesia, India serta Kemboja dan daripada jumlah itu, sebanyak 30 orang ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri dan melanggar peraturan pas permit yang dikeluarkan. – Bernama

    Antara warga asing ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu menerusi Op Kutip di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) pada 5 Januari. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda