(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Sambungan minggu lepas
(Siri 1)
Bila Jima’ Di Siang Hari Ramadhan Dikenakan Kaffarah?
Wajib membayar kaffarah serta ta‘zir dan qadha’ ke atas orang mukallaf yang membatalkan puasa bulan Ramadhan dengan jima‘.
Dengan perbuatan jima‘nya itu dia dikira telah mencemar kesucian Ramadhan dan melakukan dosa terhadap puasanya. Ini dikenakan dengan syarat tidak ada syubhah yang boleh menolak daripada dikenakan kaffarah.
Disyaratkan juga bahawa hendaklah jima‘ itu berlaku di antara anggota zakar yang asli dengan anggota faraj yang asli.
Perkara ini sama hukumnya sama ada jima‘ itu secara persetubuhan yang halal di antara suami isteri, ataupun secara zina.
Begitu juga sama hukumnya sama ada ia dilakukan dengan cara tabi‘i ataupun di luar tabi‘i, misalnya melalui dubur perempuan ataupun lelaki, atau melalui faraj atau dubur binatang, ataupun menjima‘ mayat.

Kesemuanya ini sama hukumnya walaupun dikerjakan dengan berlapik, sekalipun tidak menyebabkan inzal (keluar air mani).
Perbuatan jima‘ yang menegah daripada sahnya ibadat puasa juga adalah sama hukumnya dengan membatalkan puasa dengan melakukan jima‘. Sebagai contoh, mereka yang sedang melakukan jima‘ ketika sahur lalu mereka terus melakukannya sedangkan mereka tahu bahawa waktu Subuh sudahpun masuk. Perbuatan jima‘ dalam keadaan ini menyebabkan puasanya dikira tidak sah dan dia dikenakan kaffarah.
Kaffarah hanya dikenakan atas sebab membatalkan puasa Ramadhan yang dikerjakan secara tunai dengan melakukan jima‘. Adapun melakukan onani, bersentuh-sentuh, bercumbu-cumbu dan sebagainya tidak diwajibkan kaffarah walaupun ia dilakukan sehingga keluar air mani sekalipun. Ini kerana nas kaffarah hanya dikenakan atas sebab membatalkan puasa Ramadhan dengan jima‘ semata-mata dan bukan atas sebab lain.
Siapa Yang Wajib Membayar Kaffarah?
Kaffarah hanya wajib dibayar oleh lelaki mukallaf yang mewathi (menyetubuhi) sahaja. Dari itu, ia tidak dikenakan atas lelaki yang belum mukallaf serta tidak dikenakan atas perempuan atau lelaki yang diwathi (disetubuhi) oleh lelaki yang lain.
Apa Dia Kaffarah Melakukan Jima’ Di Siang Hari Puasa Ramadhan?
Kaffarah melakukan jima‘ di siang hari puasa Ramadhan ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata yang maksudnya: Ketika kami duduk bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, datang seorang lelaki kepada Baginda lalu berkata: Wahai Rasulullah, Binasalah aku!
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Kenapa dengan engkau?
Lelaki itu menjawab: Aku telah menyetubuhi isteriku sedang aku dalam keadaan berpuasa (Ramadhan).
Lalu Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Adakah engkau mampu memerdekakan seorang hamba?
Lelaki itu menjawab: Tidak.
Lalu Baginda bersabda: Adakah engkau berdaya melakukan puasa dua bulan berturut-turut?.
Lelaki itu menjawab: Tidak.
Baginda bersabda lagi: Adakah engkau mampu memberi makan enam puluh orang miskin?.
Lelaki itu menjawab: Tidak.
Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu berkata: Ketika kami duduk dengan Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam, Baginda Shallallahu ‘alaihi wassalam didatangi oleh seseorang bersamanya keranjang yang berisi di dalamnya tamar.
Baginda bertanya: Mana si penyoal tadi?
Maka lelaki itu menjawab: Saya.
Lalu Baginda bersabda: Ambil (tamar) ini dan sedekahkan.
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Berdasarkan hadis di atas, kaffarah kerana melakukan jima‘ di siang hari bulan Ramadhan ialah dengan memerdekakan seorang hamba sahaya.
Jika tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut dan jika dia tidak berdaya untuk berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin.
Satu kaffarah dikenakan pada setiap hari puasa yang batal atas sebab melakukan jima‘. Ini kerana satu hari ibadat puasa itu dikira sebagai ibadat yang berasingan antara satu hari dengan hari yang lain.
Ini bermaksud, sekiranya dia membatalkan dua hari puasa Ramadhan dengan jima‘, maka dia dikenakan dua kaffarah.
Sekiranya dia membatalkan tiga hari puasa Ramadhan dengan jima‘, maka dia dikenakan tiga kaffarah dan begitulah seterusnya.
Sekiranya berulang jima‘ itu dalam sehari, misalnya dia melakukan jima‘ terhadap empat isterinya dalam satu siang hari puasa, maka dia hanya akan dikenakan satu kaffarah sahaja.
Bila Jima’ Di Siang Hari Ramadhan Tidak Dikenakan Kaffarah?
Tidak semua jima‘ yang dilakukan di siang hari Ramadhan dikenakan kaffarah. Terdapat keadaan di mana kaffarah tidak dikenakan atas sebab-sebab tertentu serta kewujudan syubhah yang menolak seseorang itu daripada dikenakan kaffarah.
Menurut syara‘, melakukan jima‘ pada siang hari Ramadhan tidak akan dikenakan kaffarah dalam keadaan-keadaan berikut:
(1) Orang Yang Tidak Batal Puasanya Kerana Jima’
Menurut hukum asal, jima‘ di siang hari puasa merupakan salah satu perkara yang membatalkan puasa.
Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, ia tidak membatalkan puasa. Ini berlaku sekiranya jima‘ itu dilakukan dalam keadaan berikut:
(i) Lupa dia sedang berpuasa.
(ii) Dia dipaksa untuk melakukan jima‘.
(iii) Jahil akan hukum haram melakukan jima‘ ketika berpuasa kerana dia baru masuk Islam ataupun jauh daripada ulama.
Dalam keadaan seperti di atas ini, jima‘ yang dilakukan tidak membatalkan puasa dan mereka juga tidak dikira berdosa melakukannya.
Atas sebab itu, menurut ulama mazhab asy-Syafi‘i, jima‘ dalam keadaan sedemikian tidak dikenakan kaffarah.
Bahkan kaffarah hanya dikenakan kepada mereka yang batal puasa mereka kerana melakukan jima‘.
Berkenaan dengan keadaan yang ketiga (iii), iaitu jahil akan hukum haram melakukan jima‘ ketika berpuasa, sekiranya dia tahu akan keharaman melakukan jima‘ ketika berpuasa Ramadhan, akan tetapi:
(a) Dia tidak tahu akan dikenakan kaffarah kerana melakukannya, atau
(b) Dia tidak tahu bahawa perbuatan jima‘ itu membatalkan puasa.
Maka dalam kedua-dua keadaan di atas, dia tetap akan dikenakan kaffarah.
(2) Membatalkan Puasa Orang Lain Dengan Jima’
Adapun mereka yang tidak berpuasa, seperti orang yang sakit atau sedang musafir yang tidak berpuasa, sekiranya mereka ini membatalkan puasa orang lain dengan menjima‘ mereka, maka mereka (orang yang tidak berpuasa itu) tidak dikenakan kaffarah.
Kerana jima‘ yang menyebabkan kaffarah itu adalah bagi orang yang membatalkan puasa dirinya sendiri dengan jima‘, bukan dikenakan kerana membatalkan puasa orang lain.