Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jimat cermat: Bazar tawar barangan terpakai, berkualiti

    ISLAMABAD – Ketika musim sejuk menyelubungi Pakistan dengan paras merkuri yang terus menurun, pembeli yang berjimat cermat di negara itu memenuhi pasar lambak untuk membeli-belah barangan murah namun bergaya bagi memanaskan badan sambil menikmati kegembiraan yang dibawa musim itu.

    Dikenali sebagai Bazar Landa, sebuah pasar lambak di Pakistan yang popular dalam kalangan golongan miskin, pertengahan dan kelas menengah kerana produk yang ditawarkan berpatutan dan berkualiti termasuk pakaian hangat, kasut, selimut dan barangan isi rumah yang lain, memberikan pengalaman membeli-belah musim sejuk yang berbaloi kepada orang ramai.

    Menjeritkan harga blazer hangat, Muhammad Zubair, pemilik gerai di daerah Rawalpindi, berhenti seketika untuk memberitahu Xinhua bahawa sekarang adalah musim kemuncak perniagaannya kerana dia mengaut keuntungan yang lumayan.

    “Kami membawa produk terpakai import berbeza pada musim yang berbeza, tetapi pada musim sejuk ramai orang datang untuk membeli pakaian hangat termasuk kot panjang, baju sejuk, sarung tangan dan seluar,” kata Zubair sambil menambah walaupun barangan yang dijualnya adalah terpakai tetapi ia berbaloi.

    Beliau berkata orang ramai yang datang untuk membeli pakaian ini tahu nilainya kerana barangan yang sama dijual pada harga yang jauh lebih tinggi di pasaran berjenama tempatan.

    Seorang peniaga menawarkan kasut jualannya kepada pelanggannya di pasar lambak. – Xinhua
    Orang awam kelihatan membeli kasut di pasar lambak di Islamabad, ibu kota Pakistan. – Xinhua

    Mencari pakaian hangat dan kasut terbaik untuk anak-anaknya di pasar lambak di ibu kota Islamabad, Tasneem Ahmed, ibu kepada empat anak, 45, berkata dia datang ke pasar dengan harapan untuk mencari barangan berjenama yang baik.

    “Semua orang mengatakan bahawa barangan yang dijual di sini adalah terpakai.

    “Tetapi hakikatnya terdapat banyak barangan yang dijual dari jenama asli dan hampir seperti baharu dengan kualiti yang baik,” kata Ahmed kepada Xinhua.

    Tambahnya bahawa membeli-belah di pasaran sedemikian tidak begitu membebankan perbelanjaan.

    Walaupun sesetengah orang kelihatan berpuas hati dengan harga, yang lain mengadu tentang inflasi yang melambung tinggi di negara itu yang turut mencecah pasaran bajet Pakistan.

    Bercakap dengan Xinhua, Moin Khan, seorang pembeli di pasar lambak di Rawalpindi, berkata inflasi tinggi di Pakistan turut menjejaskan pasaran ini, yang biasanya popular dalam kalangan orang miskin.

    “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak bermulanya pandemik COVID dan gangguan dalam rantaian bekalan global, harga segala-galanya telah melampaui jangkauan orang biasa,” katanya.

    “Musim ini harga pelbagai barangan di pasar lambak telah meningkat dengan ketara berbanding tahun sebelumnya,” kata Khan.

    Sambil menambah bahawa beberapa pekedai mengenakan kadar yang terlalu tinggi secara haram untuk produk jualan mereka dan kerajaan harus mengambil tindakan terhadap mereka untuk memastikan pasaran ini mampu milik untuk semua orang. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda