HOUSTON, 24 APRIL – Pemain Golden State, Jimmy Butler mengalami kecederaan di pelvis selepas terjatuh akibat kekasaran oleh Amen Thompson pada lewat suku pertama dan tidak dapat meneruskan permainan dalam kekalahan 109-94 pasukannya kepada Houston Rockets semalam.
Ketua jurulatih Steve Kerr berkata dia masih belum pasti sama ada Butler dapat diturunkan bagi permainan ketiga pada Sabtu ini. Butler dijadual menjalani ujian MRI hari ini.
“Jimmy selalu kata dia tidak ada apa-apa,” kata Kerr. “Tapi kita perlu tunggu keputusan MRI.”
Butler cedera apabila Thompson tertolak ke arah kakinya ketika dia melompat cuba mendapatkan lantunan bola. Kedua-dua pemain terjatuh dalam perlanggaran itu, namun Butler kekal terbaring lebih lama daripada Thompson.
Dia akhirnya bangun dan berjalan perlahan ke hujung gelanggang untuk melakukan lontaran bebas. Butler menjaringkan satu daripada dua percubaan, sebelum dikeluarkan dan terus dibawa ke bilik persalinan.

Kerr tidak percaya Thompson berniat untuk mencederakan Butler.
“Kami tidak fikir ada sesuatu yang salah dengan insiden itu,” jelas Kerr. “Ia hanyalah salah satu situasi dalam permainan.”
Butler yang hanya sempat mencatat tiga mata dan dua rebound sebelum dikeluarkan, sebelum ini menjaringkan 25 mata, tujuh rebound dan enam assist dalam kemenangan 95-85 Golden State pada Permainan Pertama.
Kerr berkata masih terlalu awal untuk memikirkan rancangan sekiranya Butler tidak dapat diturunkan Sabtu ini.
“Harapnya Jimmy boleh bermain, tapi jika tidak kami perlu meneliti pilihan yang ada dan merangka pelan,” tambahnya.
Sementara itu, Brandin Podziemski dari Golden State, yang tidak bermain pada sebahagian besar separuh masa pertama akibat masalah perut, kembali beraksi pada suku ketiga.
Kerr memaklumkan sebelum perlawanan bahawa Podziemski mengalami masalah perut akibat pemakanan dan menerima suntikan intravena semasa rehat separuh
masa. – AP