Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Selaku pengedar tunggal kenderaan Suzuki di Negara Brunei Darussalam, Boustead Sdn Bhd telah mendedahkan body kit dan rim terbaharu yang dikenali sebagai Vanguard bagi Suzuki Jimny terkini pada majis yang berlangsung di Bilik Pameran Suzuki, Gadong, kelmarin.
Majlis pendedahan eksklusif itu dikhususkan untuk pihak pengurusan bank-bank dan institusi-institusi kewangan serta para pengamal media di negara ini.
Direka di Jepun khusus buat Suzuki Jimny, Vanguard yang baru diperkenalkan tersebut dibawakan dengan satu tujuan iaitu untuk menonjolkannya daripada yang lainnya.
Edisi istimewa Jimny dengan body kit tersebut mencerminkan apa yang Vanguard gambarkan dengan rekaan yang kelihatan gah sama ada di hadapan dan juga spoiler bampar belakang.
Apa yang paling ketara ialah kemegahan pada sisi paparan depannya di samping rim 15 inci Vanguard yang sungguh menarik perhatian.
Pengurus Eksekutif Boustead Sdn Bhd, Lim Jin Lee dalam ucapannya pada majlis itu antara lain menjelaskan bahawa Vanguard tersebut akan menjadikan model kenderaan tersebut menjadi lebih menarik.
Beliau turut menyatakan bahawa meskipun rekaannya cukup sederhana, namun ia ternyata memberikan impak yang cukup ketara lebih-lebih lagi dengan skim warna logonya.
Edisi istimewa Jimny tersebut turut dilengkapi dengan set baharu body kit yang kelihatan lebih tegap dan agresif berbanding Suzuki Jimny biasa.
Pada majlis pelancaran itu, Boustead Sdn Bhd turut mengambil kesempatan untuk meraikan ulang tahun ke-30 Heritage for Suzuki Vitara di mana tiga generasi Vitara dari 1988, 2005 dan 2015 turut dipamerkan.
