Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jimny V tampil serba baharu, tersendiri

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Boustead Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kenderaan Suzuki di Brunei, hari ini, telah memperkenalkan Suzuki Jimny lima pintu serba baharu semasa Pesta Pengguna ke-28 (CF28) di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas.

    Suzuki Jimny juga dikenali sebagai Jimny V ini direka dengan tambahan pintu belakang yang memberikan ciri-cirinya tersendiri untuk sebuah segmen kereta mini offroad.

    Hadir merasmikan majlis perkenalan kereta berkenaan ialah wakil daripada Suzuki Brunei.

    Difahamkan, model lima pintu ini memiliki jarak antara roda sepanjang 2,550mm, atau 300mm lebih panjang berbanding Jimny tiga pintu. Sementara itu dimensi penuh pula sekitar 3,850mm, lebar 1,645mm dan tinggi 1,730mm.

    Tidak banyak perubahan rekaan yang bakal dibawakan berdasarkan gambar intip yang diperoleh sebelum ini, melainkan penambahan dua pintu belakang dengan jarak antara roda yang lebih panjang.

    Penambahan dimensi itu sekali gus menawarkan ruang kabin yang lebih luas, dan menjadikan Jimny kali ini jauh lebih praktikal untuk kegunaan seharian.

    Jimny versi lima pintu ini masih lagi mengekalkan penggunaan nadi K15B 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan, serta sistem pacuan empat roda secara standard.

    Suzuki Jimny generasi keempat, baik tiga pintu mahupun lima pintu, memiliki keunggulan enjin yang lebih baik daripada pendahulunya, iaitu enjin 1.5 liter yang mampu menjana tenaga 102hp dan 130Nm.

    Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Suzuki Jimny serba baharu ini boleh mengunjungi mana-mana bilik pameran Suzuki atau berkunjung ke CF28 yang akan berlangsung hingga 28 Januari.

    Suzuki Jimny direka dengan tambahan pintu belakang yang memberikan ciri-cirinya tersendiri untuk segmen kereta mini offroad. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Bahagian dalam Suzuki Jimny menawarkan ruang kabin yang lebih luas. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda