Bimbang kejadian buruk berulang kembali, anggota kumpulan BTS iaitu Jin memberi amaran kepada peminat agar tidak menyentuhnya.
Pinkvilla melaporkan, Jin dalam nada bergurau meminta peminat yang hadir ke acara pelancaran album solo keduanya berjudul Echo pada Ahad supaya tidak memegang tangannya dengan kasar.
“Kalau awak (peminat) pegang tangan saya, rasa sakit. Jadi sentuh ringan sahaja.
“Bagi orang luar (warga asing) tolong jangan sentuh saya,” katanya sambil ketawa.
Dalam pada itu, Jin turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya kerana berinteraksi dengan sopan berbanding acara pelukan yang diberikan kepada peminat tahun lalu, menurut petikan mStar.
Pada 13 Jun tahun lalu, Jin menganjurkan acara bertemu peminat yang diadakan di Gimnasium Tertutup Jamsil, Seoul dan mengotakan janji memberi pelukan percuma kepada 1,000 peminat bertuah.
Majlis itu juga bersempena ulang tahun ke-11 penubuhan BTS dan penamatan latihan ketenteraannya pada 12 Jun 2024.
Pun begitu, Soompi melaporkan Balai Polis Songpa di Seoul mengesahkan menerima aduan menerusi Sistem Petisyen Kebangsaaan berhubung pelanggaran Akta Hukuman Keganasan Seksual susulan seorang wanita cuba mencium Jin.
Wanita asal Jepun itu bagaimanapun sudah didakwa atas kesalahan melakukan gangguan tidak senonoh terhadap penyanyi berkenaan. – Agensi
