KUALA LUMPUR, 29 Nov – Juara bertahan remaja dunia, Goh Jin Wei beraksi cemerlang dengan melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Korea 2018 di Gwangju, Korea Selatan, hari ini.
Pilihan ketujuh itu mengambil masa hanya 25 minit untuk menumpaskan pemain Belanda, Soraya De Visch Eijbergen 21-7 dan 21-13 pada perlawanan pusingan pertama perseorangan wanita di Gwangju Women University Stadium, menurut laman sesawang Persekutuan badminton Dunia (BWF).
Sementara itu, bekas pemain Malaysia, Tan Boon Heong yang berpasangan dengan Kim Sa Rang dari Korea Selatan melakar kejutan besar pada kejohanan yang menawarkan hadiah AS$250,000 (RM1.050 juta) dengan menyingkirkan pilihan utama, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia 21-13, 18-21 dan 21-12. Dua pemain perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia dan Soong Joo Ven juga mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan masing-masing.
Zii Jia menundukkan pemain Taiwan, Lin Yu Hsien 23-21 dan 22-20 sementara Soong terpaksa ke heret ke perlawanan rubber set sebelum menjinakkan Ha Young Woong 8-21, 21-12 dan 21-14. – Bernama