Wednesday, December 4, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jin Young cetus sensasi di New Jersey

    NEW YORK, 11 OKT – Pemain golf Korea Selatan, Ko Jin Young melengkapkan pendahuluan dari hari pertama sehingga ke pusingan terakhir untuk mempertahankan kejuaraan Piala Founders LPGA dan menyamai rekod Annika Sorenstam bawah 70 pukulan sepusingan berturut-turut.

    Pemain nombor dua dunia itu mencatat lima di bawah par 66 untuk menamatkan saingan 18 di bawah 266 selepas 72 lubang di Mountain Ridge Country Club di West Caldwell, New Jersey.

    “Saya cuba untuk memberikan yang terbaik minggu ini dan saya berjaya melakukannya,” kata Jin Young.

    Pemain Jerman, Carolina Masson menamatkan saingan dengan 270 pukulan, selepas mencatat 64 pukulan, salah satu catatan terendah yang pernah dilakukannya sepanjang karier, manakala wakil Amerika Syarikat, Elizabeth Szokol di tempat ketiga dengan 273 pukulan.

    Jin Young, yang berjaya menyamai catatan terendah sepanjang kariernya pada hari pertama dengan 63 pukulan, meraih kejuaraan LPGA ke-10 dan ketiga tahun ini selepas menjulang trofi Volunteers of America Classic dan Portland Classic.

    Seminggu selepas kekecewaan sekadar muncul naib juara di Shop Rite Classic, Jin Young menjadi pemain Korea Selatan kelima untuk merangkul kejuaraan LPGA sebanyak sembilan kali.

    “Keadaan sungguh menyedihkan minggu lalu. Minggu lalu saya tidak beraksi dengan baik pada pusingan terakhir.

    “Namun ia berbeza dengan hari ini. Terutama pada sembilan pukulan terakhir, sangat memberi impak besar,” katanya.

    Kejuaraan utama yang diraih Jin Young adalah pada 2019 selepas dia berjaya merangkul Kejohanan ANA Inspiration dan Evian Championship di Perancis. – AFP

    Reaksi Jin Young selepas memenangi Piala Cognizant Founders di West Caldwell, New Jersey pada 10 Oktober 2021. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda