Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jingdezhen pikat belia profesional Cina

    JINGDEZHEN, CHINA – ‘Ibu Negeri Porselin’ China, Jingdezhen memikat ramai golongan muda yang tertarik ke bandar artisan itu untuk mengelakkan daripada perlumbaan mengejar kekayaan bandar di antara bengkel seramiknya.

    Kota timur yang indah itu menempatkan porselin terkenal China dan kini menyaksikan kemasukan profesional muda yang ingin mempelajari seni purba yang diajar di sana selama lebih seribu tahun.

    Masa adalah sukar untuk golongan muda di China, dengan pengangguran belia pada rekod tertinggi, pertumbuhan ekonomi yang lembap dan bagi kebanyakan orang, peluang yang dinikmati generasi ibu bapa mereka tidak dapat dicapai.

    Tetapi di Jingdezhen, mereka menemui sesuatu yang berbeza: sewa yang rendah, kadar kehidupan yang lebih perlahan dan berdekatan dengan alam semula jadi di sebuah bandar dengan hanya 1.6 juta penduduk, sangat kecil berdasarkan standard Cina.

    Dari apartmen satu bilik tidurnya di tingkat tujuh, He Yun, seorang ilustrator berusia 28 tahun, menikmati pemandangan panorama bukit hijau di sekelilingnya dengan hanya 500 yuan sebulan.

    Pekerja bersedia untuk membakar produk tembikar di bengkel tanur di Jingdezhen, wilayah Jiangxi, China. – Gambar AFP
    Sekumpulan belia belajar membuat tembikar di sebuah bengkel di Jingdezhen. – Gambar AFP
    Seorang lelaki belajar membuat tembikar di sebuah bengkel di Jingdezhen. – Gambar AFP
    Penjual produk tembikar menunggu pelanggan di sebuah pasar malam. – Gambar AFP
    Orang ramai mengunjungi sebuah pasar malam di Jingdezhen. – Gambar AFP
    Da Shixiong (kanan) mengajar seorang pelancong membuat tembikar di sebuah bengkel di Jingdezhen. – Gambar AFP

    Dia tiba di Jingdezhen pada bulan Jun selepas diberhentikan kerja dan menemui sebuah tempat di mana dia tidak merasakan ‘sebarang tekanan’.

    “Saya ke Jingdezhen kerana di media sosial semua orang mengatakan bahawa ia adalah tempat yang bagus untuk peminat kraf seperti saya, dan terdapat kebebasan,” katanya.

    “Apabila saya kehilangan pekerjaan, saya hanya duduk di rumah dan menjadi tertekan. Tetapi apabila saya tiba di sini, saya mendapati amat senang berkawan.

    “Tidak perlu lagi memasang penggera pada waktu pagi,” dia tersenyum.

    “Saya tidak mempunyai tekanan sekarang!”

    Mencari makna

    Hari biasa untuk He bermula dengan sarapan pagi yang santai, sebelum menuju ke bengkel untuk membuat pemegang lilin seramik dan rantai leher, yang kemudiannya dibakar di salah satu tanur di bandar itu.

    “Pada lewat petang, kami pergi ke kampung sekitar dan berenang di sungai untuk berehat,” katanya.

    “Saya menyiarkan kerja saya di Xiaohongshu, iaitu sebuah aplikasi Cina yang serupa dengan Instagram, di mana orang menghubungi saya untuk membeli. Tetapi kami selalunya menjual di pasaran,” katanya.

    Di antara kafe yang moden, butik dan gerai menawarkan gelas, mangkuk, cawan, teko, pinggan, rantai atau anting-anting.

    Chen Jia, berusia 24 tahun dan mempunyai rambut diwarnakan merah, membuat loket feminis dalam bentuk tuala wanita.

    Seorang graduan muzik yang tiba pada bulan Jun, pekerjaan pertamanya sebagai guru piano dan di kedai teh susu dan kafe tidak disukainya.

    “Saya sedang mencari makna dalam hidup saya,” katanya.

    “Ramai anak muda hari ini tidak lagi mahu bekerja pada masa yang ditetapkan.”

    Peningkatan pesat ekonomi China dibina di sebalik kelas pertengahan yang semakin berkembang, yang berjanji mereka boleh menikmati ganjaran kemakmuran dan memberikan anak-anak mereka kehidupan yang lebih baik jika mereka bekerja cukup keras.

    Namun golongan era milenium di negara itu dan Gen Z telah menghadapi prospek yang berbeza sama sekali: pengangguran belia telah mencecah tahap rekod, melebihi 20 peratus mengikut angka rasmi selain gaji yang rendah.

    Dalam konteks itulah budaya ‘tangping’ telah berkembang maju.

    Secara harfiah bermaksud ‘berbaring mendatar’, ia mewakili bantahan umum terhadap jangkaan masyarakat, melepaskan kerjaya dan gaji tinggi untuk menumpukan pada kehidupan dan kesenangan yang sederhana. Dan Jingdezhen telah menjadi syurga bagi mereka yang mencari kehidupan itu.

    Di sekolah tembikar Dashu, kira-kira 20 orang pelajar bekerja dengan tanah liat pada roda tembikar mereka atau berbual sambil menghirup latte ais. Latihan berharga 4,500 yuan sebulan, harga yang amat berpatutan.

    “Ramai orang muda tidak dapat mencari kerja,” jelas pengarah berusia 39 tahun yang memperkenalkan dirinya sebagai Anna.

    “Mereka datang ke sini untuk mengurangkan kerisauan mereka.

    “Seramik sangat mudah diakses. Dalam masa dua minggu, mereka boleh menghasilkan karya mudah dan menjualnya di pasaran,” tambahnya.

    Kehidupan baharu

    Salah seorang daripada mereka, Guo Yiyang, 27, meletak jawatan pada Mac daripada pekerjaan bergaji lumayan sebagai pengaturcara komputer.

    Selepas bekerja lebih masa selama bertahun-tahun, dia berkata dia mahu ‘berhenti untuk melepaskan lelah’.

    “Di bandar besar… awda hanya bekerja. Awda tidak mempunyai kehidupan awda sendiri,” katanya sambil menambah dia ‘tidak pernah lagi’ melihat dirinya bekerja seperti itu.

    “Keinginan untuk menjalani gaya hidup yang lain” juga mendorong Xiao Fei, 27, bekas pereka dalaman meletak jawatan dan datang ke Jingdezhen pada Jun.

    “Saya tidak mempunyai masa untuk diri saya sendiri,” katanya. “Saya pulang ke rumah dalam keadaan letih dan saya tidak mahu bercakap dengan orang lain.

    “Saya berasa lebih gembira, lebih bebas dan saya bertemu orang yang mempunyai cita-cita yang sama.” Menurut media China, 30,000 orang bandar muda tinggal di Jingdezhen pada 2022.

    Beberapa orang tinggal untuk jangka masa panjang tetapi Xiao sudah tahu bahawa dia tidak mahu kembali.

    “Selepas mengecapi kehidupan baharu ini, saya langsung tidak mahu kembali bekerja di pejabat.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda