SURABAYA, 27 JUN – Selepas menyambar satu emas dalam acara 50 meter (m) kuak dada, perenang wanita Malaysia, Phee Jinq En mahu membolot satu lagi emas, kali ini menerusi 200m kuak dada esok pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024.
Setelah gagal melayakkan diri ke Olimpik Paris, beliau berkata keputusannya untuk menyertai AUG adalah tepat apabila berjaya menyumbang emas buat kontinjen Malaysia kelmarin.
“Saya datang ke sini (AUG 2024) disebabkan saya tidak dapat ke Sukan Olimpik Paris 2024 dan tiada apa lagi (pertandingan) untuk saya bagi saingan musim ini.
“Kemenangan di sini memang sudah dijangka kerana ini adalah salah satu acara terbaik saya,” katanya ketika ditemui pemberita di kolam renang Komite Olahraga Nasional Indonesia (KONI).
Perenang berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi bertenaga untuk meraih emas dalam acara 50m kuak dada wanita dengan catatan 32.03 saat (s).
Kemenangan itu sekali gus memberikan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia selepas atlet judo, Nur Farrah Izzati Wallah menghadiahkan pingat emas pertama dalam acara bawah 52 kilogram (kg) dan Tan Khai Xin dalam acara renang 400m gaya bebas lelaki. – Bernama