JINTAN manis atau anise adalah sejenis rempah yang mempunyai sejarah lebih dari 5,000 tahun lamanya.
Selalunya ia banyak digunakan dalam masakan India, Timur Tengah, Mexico, Portugis dan Sepanyol.
Apabila setiap makanan ditambah dengan jintan manis setentunya ia akan memberikan rasa unik pada makanan tersebut.
Dikenali dengan nama saintifiknya, Pimpinella anisum, jintan manis dikatakan berasal dari Mesir dan telah digunakan semasa zaman Firaun di mana ia bukan sahaja digunakan dalam rempah makanan bahkan juga sebagai salah satu bahan dalam mengawetkan mumia raja yang telah meninggal dunia.
Dari Mesir, jintan manis telah dibawa ke Greek dan Rom yang kemudiannya telah menggunakan rempah ini sebagai ramuan ubatan dan kosmetik bagi menaikkan seri wajah yang pucat.
Kini jintan manis banyak ditanam di negara-negara yang memiliki iklim panas terutamanya India, Afrika Utara, China dan Amerika.
Memudahkan pencernaan
Jintan manis dikatakan baik untuk masalah berkaitan dengan pencernaan.
Bau yang keluar daripada sebatian organik yang dikenali sebagai Cuminaldehyde, bahan utama dalam minyak pati di mana ia juga turut merangsang kelenjar lidah dalam mulut bagi memudahkan pencernaan makanan.
Kemudiannya, Thymot pula adalah sebatian yang terdapat pada jintan manis yang melakukan perkara sama pada kelenjar yang merembes asid, hempedu, enzim yang bertanggungjawab bagi menyempurnakan pencernaan makanan dalam perut dan usus.
Melegakan sakit perut
Jintan manis juga bersifat karminatif iaitu melegakan masalah angin sekali gus membaiki pencernaan dan selera.
Berikutan dengan kandungan minyak pati, magnesium dan sodium yang terdapat di dalamnya, jintan manis yang direndam dalam air panas dikatakan dapat melegakan sakit perut apabila diminum.
Penjulap semula jadi
Kandungan serat pemakanan dan karminatif dalam jintan manis merangsang bahan antikulat dan antimikrob sekaligus bertindak sebagai penjulap semula jadi.
Ia juga dikatakan mampu untuk melegakan jangkitan atau luka dalam sistem pencernaan dan perkumuhan dan mempercepatkan penghadaman.
Bagi pesakit buasir, jintan manis dikatakan amat baik bagi membantu menyembuhkan masalah yang dialami.

Kesan penenang
Jintan manis juga dikatakan mampu untuk mengubati masalah insomnia kerana herba ini bertindak sebagai perangsang dan juga penenang dalam masa yang sama.
Kajian juga mendapati bahawa pengambilan vitamin terutamanya B-kompleks dan pencernaan yang baik dapat membantu untuk merangsang tidur yang lena.
Jintan manis dikatakan mampu untuk melakukan kedua-duanya kerana kandungan minyak pati berasaskan jintan manis memiliki sifat hipnosis (pelena) dan memiliki kesan penenang.
Disinfektan menentang jangkitan virus selesema
Kehadiran kafein dalam agen perangsang dan bau minyak pati juga menjadikan jintan manis amat ideal untuk digunakan oleh mereka yang mengalami masalah dalam sistem pernafasan seperti asma dan bronkitis.
Minyak pati dalam jintan manis juga dikatakan mampu bertindak sebagai disinfektan bagi membantu menentang jangkitan virus yang menyebabkan selesema.
Air rebusan jintan manis juga dikatakan mampu digunakan bagi mengurangkan masalah sakit tekak.


Kurangkan masalah bisul
Jintan manis yang telah ditumbuk dikatakan mampu dijadikan sebagai ubat pupuk bagi mengurangkan masalah bisul.
Membuang lemak
Selain itu, jintan manis juga dikatakan boleh dijadikan tonik untuk diminum walaupun anda tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang mahu disembuhkan.
Tonik ini juga dikatakan mampu untuk meningkatkan kepanasan dalam tubuh sekali gus menjadikan metabolisme lebih efisien.
Bagi anda yang ingin membuang lemak di pangkal paha, anda boleh meminum air rebusan jintan manis pada waktu pagi dan petang selama sebulan. – Agensi