JINTAN putih atau nama saintifiknya Cuminum Cyminum banyak digunakan sebagai pelengkap ramuan masakan. Walaupun herba ini kecil tetapi khasiatnya amat besar. Herba ini dikatakan berasal dari Mesir tetapi banyak ditanam di Timur Tengah, India, China dan negara Mediterranean selama berkurun lamanya.
Semasa zaman pertengahan di Eropah, jintan putih adalah herba yang banyak digunakan. Pada masa itu juga jintan putih amat terkenal kerana ia merupakan simbol kasih sayang dan kesetiaan. Kini jintan putih amat dihargai kerana ia mampu menyedapkan makanan yang dimasak dan memiliki nilai terapeutik dalam perubatan.
Biji jintan putih dikatakan penuh dengan besi dan serat pemakanan. Zat makanan lain dalam jintan putih termasuklah mangan, tembaga, kalsium, magnesium, fosforus dan zink. Jintan putih turut mengandungi sejumlah kecil vitamin C, vitamin E, vitamin K, vitamin B1, B2, B3 dan folat. Pengambilan herba jintan putih dikatakan mampu memberi manfaat pada kesihatan tubuh dan mengurangkan masalah kesihatan yang anda alami.
Baik untuk pencernaan
Jintan putih banyak digunakan dalam perubatan tradisional terutamanya untuk mengatasi masalah pencernaan. Pengambilan jintan putih mampu meningkatkan aktiviti enzim pencernaan dan berpotensi mempercepatkan pencernaan. Dikatakan pengambilan jintan putih juga mampu meningkatkan pelepasan hempedu daripada hati. Hempedu membantu mencerna lemak dan zat makanan tertentu dalam perut.

Kaya sumber besi
Secara semula jadinya jintan putih mengandungi sumber besi yang banyak. Satu sudu teh serbuk jintan putih dikatakan mengandungi 1.4 miligram besi atau 17.5 peratus keperluan zat besi untuk orang dewasa.
Mengandungi sebatian tumbuhan yang berfaedah
Jintan putih mengandungi banyak sebatian tumbuhan yang dikaitkan dengan kebaikan untuk kesihatan. Ini termasuklah terpenes, fenol, flavonoid, dan alkaloid. Sesetengah daripada fungsi sebatian tumbuhan ini adalah sebagai antioksidan yang mampu mengurangkan kerosakan pada tubuh daripada radikal bebas.
Mampu membantu merawat diabetes
Sesetengah bahan dalam jintan putih dikatakan telah menunjukkan ia mampu membantu dalam merawat diabetes. Pengambilan supplemen daripada jintan putih dikatakan mampu memperbaiki kawalan tekanan darah. Walaupun tidak pasti apa penyebab kesan ini atau banyak mana jintan putih yang diperlukan.
Memperbaiki kolestrol darah
Kajian klinikal telah dikatakan menunjukkan jintan putih mampu memperbaiki kolestrol dalam darah. Namun masih kurang pasti jika kesan baik ini adalah sama jika menggunakan suplemen daripada jintan putih dan perasan serbuk jintan putih dalam jumlah yang sama.


Mengurangkan berat badan
Jintan putih mengandungi banyak serat. Kandungan serat tersebut mampu melancarkan sistem pencernaan dan sistem metabolisme tubuh. Ini mampu mengelakkan pengumpulan lemak dalam tubuh yang membuatkan tubuh menjadi gemuk.
Menstabilkan tekanan darah
Jintan putih mengandungi kalium yang sangat berguna untuk membantu menormalkan tekanan darah dan rentak jantung.
Mengubati sakit perut
intan putih telah lama digunakan untuk mengubati sakit perut. Jika anda mengalami kembung, perut masuk angin atau cirit-birit dikatakan boleh mengambil jintan putih untuk meredakan masalah tersebut.
Menyembuhkan masalah gangguan pernafasan
Jintan putih dikatakan mampu digunakan untuk mengubati masalah gangguan yang terjadi pada sistem pernafasan seperti bronkitis dan asma. Ini kerana di dalam jintan putih terdapat kafein sebagai agen perangsang serta minyak pati yang berfungsi sebagai disinfektan.
Menyihatkan kulit
Dikatakan jintan putih mengandungi vitamin E yang cukup tinggi. Vitamin E amat diperlukan untuk menjadikan kulit sentiasa sihat.