BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) memaklumkan bahawa Bahagian Dokumen Perjalanan di ibu pejabatnya di Jalan Menteri Besar, di sini, akan menambah waktu perkhidmatan pada Jumaat (17 dan 24 Mac) mulai 8:15 pagi hingga 11 pagi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, JIPK juga memaklumkan bahawa setiap menjelangnya musim cuti penggal persekolahan, permohonan orang ramai untuk mendapatkan pasport juga telah meningkat dari hari-hari kebiasaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk membuat perjalanan ke luar negara dinasihatkan supaya membuat perancangan lebih awal dengan membuat atau membaharui pasport lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan masalah.
JIPK juga menasihatkan orang ramai yang akan membuat perjalanan ke luar negara supaya memastikan setiap dokumen perjalanan mereka dalam keadaan baik dan masih mempunyai tempoh sah laku sekurang-kurangnya enam bulan sebelum mansuh dan masih mempunyai ruang muka surat kosong yang mencukupi untuk mengelakkan sebarang masalah dan kesulitan semasa membuat urusan bagi membuat perjalanan ke luar negeri.