Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Jiran baharu ganggu ketenteraman

    Baru-baru ani, ada sekumpulan warga asing yang berpindah masuk ke kawasan kejiranan aku. Mereka terdiri daripada beberapa orang lelaki yang aku kurang pasti jumlahnya.

    Kadang-kadang aku lihat mereka duduk di luar rumah pada waktu petang dan malam.

    Yang buat aku sedikit risau dan kurang selesa, mereka berbual dengan suara yang kuat, atau kadang-kadang pasang lagu di telefon dengan bunyi yang agak nyaring, sampai mengganggu suasana tenang di sekitar.

    Selain itu, ada masa aku perhatikan mereka berdiri terlalu dekat dengan pagar rumah jiran-jiran, termasuk rumah kami. Aku mula rasa kurang senang, lebih-lebih lagi apabila fikirkan soal keselamatan keluarga dan harta benda.

    Bukannya aku mahu buruk sangka atau bersikap rasis, tapi naluri sebagai manusia biasa, kekadang timbul rasa kurang selesa bila kelakuan begini berlaku di kawasan perumahan yang sebelum ini aman damai saja.

    Foto Canva

    Aku tertanya-tanya, adakah mereka sedar bahawa tindakan mereka itu boleh mengundang ketidakselesaan orang di sekeliling?

    Aku yakin, sepatutnya bila tinggal di kawasan kejiranan, kitani semua perlu jua menjaga adab dan hormat kejiranan di sekeliling. Mungkin mereka tidak sedar tentang perkara tu, tapi aku rasa ada baiknya kalau kita semua lebih peka dengan keadaan kejiranan.

    Aku harap dengan luahan ku ini, mungkin ada orang lain yang pernah mengalami perkara yang sama dan boleh kongsikan pandangan abiskita mengenai perkara ini untuk dijadikan iktibar bersama.

    Lagipun, kitani kan sama-sama inginkan suasana yang tenteram di rumah, tempat di mana kita sepatutnya dapat berehat dengan aman selepas penat seharian bekerja.

    Mudah-mudahan, situasi ani dapat diselesaikan dengan baik tanpa menyinggung perasaan sesiapa.

    Jiran yang prihatin

    NASIHAT DANG MP

    Terima kasih kepada Jiran yang prihatin kerana berkongsi perkara ini. Adalah penting untuk kita merasa tenang apabila kita berada di rumah untuk merehatkan badan dan minda.

    Namun apabila berlaku situasi begini sememangnya mengundang rasa tidak selesa dan tidak selamat. Untuk menangani situasi ini, satu langkah yang boleh diambil adalah bercakap secara peribadi dengan mereka.

    Sampaikan kepada mereka bahawa bunyi yang kuat boleh mengganggu ketenteraman kejiranan. Mungkin mereka tidak menyedari kesan tingkah laku mereka.

    Jika situasi masih berlanjutan, awda boleh hubungi pihak berkuasa atau jawatankuasa penduduk untuk mendapatkan bantuan.

    Pihak berkuasa boleh menjalankan rondaan dan memberikan sedikit teguran terhadap tingkah laku mereka. Jawatankuasa penduduk mungkin boleh menghubungi tuan rumah sewa untuk mengingatkan mereka supaya menegur penyewa untuk menghormati kejiranan mereka. Mengadakan perjumpaan antara jiran-jiran juga idea yang baik untuk membincangkan isu ini, kerana ia dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan kejiranan akan situasi tersebut.

    Semoga berjaya mengembalikan ketenteraman di kejiranan awda dengan cara yang terbaik Dang MP ucapkan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda