Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Dengan matlamat untuk menggalakkan para pelajar memikirkan mengenai kelestarian dalam bahasa asing, Fakulti Bahasa Eropah, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah menganjurkan siri aktiviti bagi pelajar-pelajar Tahun 9 mengenai tema ‘Kelestarian’.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, seramai 75 orang pelajar telah menyertai pelbagai aktiviti linguistik bersama tenaga pengajar Bahasa Perancis dan Sepanyol masing-masing.
Pada sesi pagi, mereka telah mempraktikkan perbendaharaan kata yang diperlukan bagi mengekspresikan diri mengenai topik-topik yang ditetapkan melalui pertandingan-pertandingan dalam talian dan Spelling Bee Bahasa Perancis.
Selain itu, mereka juga dikehendaki menjawab soalan-soalan yang berkaitan dengan aspek kelestarian di JIS Outdoor Discovery Centre, di samping menerokai pengetahuan lebih terperinci mengenai inisiatif yang diketengahkan oleh negara-negara berbahasa Sepanyol seperti Costa Rica dan negara-negara berbahasa seperti Perancis Kanada.
Manakala itu, pada sesi petang, tenaga pengajar daripada Alliance française de Brunei telah memimpin aktiviti yang menguji minda para pelajar berdasarkan pengetahuan yang telah diperolehi pada sesi pagi dan menunjukkan petikan Bahasa Perancis dalam sebuah dokumentari alam sekitar.
Semasa berlangsungnya aktiviti berkenaan, pameran foto jelajah Perancis turut ditampilkan di JIS Arts Centre di mana sebanyak 25 buah koleksi foto milik Pierre Sauvadet yang merakamkan kenangan ekspedisi beliau ke kutub utara pada 25 tahun lalu dengan ulasan audio dalam bahasa Inggeris, Perancis dan Sepanyol untuk lebih memahami kisah perjalanannya.
Pengetua JIS, Nicholas Sheehan dipetik menyatakan, sebagai sebuah sekolah antarabangsa yang memiliki lebih 1,680 orang pelajar dari 55 negara berbeza, pihak sekolah amat menyokong dalam melahirkan pelajar yang memiliki pengetahuan mendalam untuk memahami isu-isu kompleks yang berhadapi oleh dunia pada abad ke-21 ini.
Tambahnya, pembelajaran mengenai kelestarian itu merupakan salah satu aspek terpenting dalam etika sekolah untuk mewujudkan impak yang positif dalam kurikulum.