Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) menganjurkan acara tahunan bagi pelajar Pengajian Tinggi Tahun 12 yang berlangsung di Pusat Seni JIS baru-baru ini.
Acara ini merupakan bahagian penting dalam setiap perjalanan pelajar JIS untuk meneliti dan memilih laluan pengajian tinggi yang paling sesuai.
Pengetua Eksekutif, Nicholas Sheehan dan Penolong Ketua Senior Sekolah, Dan Roberts dalam ucapan mereka telah menggariskan sokongan tawaran JIS kepada pelajar untuk memilih laluan ke pengajian tinggi mereka.
Dan Roberts menambah, “kami bangga mempersiapkan pelajar kami untuk meneroka pelbagai peluang pengajian tinggi, sama ada dalam negara atau peringkat Antarabangsa.
“Acara sebegini berfungsi sebagai platform bagi keluarga untuk terlibat dalam perbincangan yang mengenai laluan masa depan pelajar dan untuk mengungkap pelbagai kemungkinan yang menanti mereka.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada wakil-wakil dari pelbagai institusi dan kedutaan untuk menyumbang kepada kejayaan acara ini dan memberi inspirasi kepada pelajar kami untuk mensasarkan aspirasi mereka,” jelasnya lagi.
Acara berkenaan menyediakan sesi-sesi khusus yang memberikan maklumat terperinci mengenai pengajian tinggi di Australia, Kanada, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat selain peluang pengajian tinggi di seluruh rantau seperti Asia dan Eropah.
Turut hadir adalah wakil-wakil dari pelbagai institusi pengajian tinggi Brunei, termasuk JPMC College of Health Sciences, Kolej Siswazah Antarabangsa (IGS), Laksamana College of Business (LCB), Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Wakil dari Kementerian Pendidikan (MOE) juga turut hadir untuk memberikan nasihat kepada pelajar Brunei mengenai permohonan skim biasiswa dan pinjaman.
Antara lain tujuan acara diadakan adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar untuk belajar di negara-negara yang dipiliht, di samping memberikan maklumat penting mengenai kursus, proses permohonan, kos, situasi visa dan imigresen dan peluang untuk kajian pascasiswazah dan juga pekerjaan.
Di samping itu, pelajar dan ibu bapa juga diberikan peluang untuk berinteraksi dengan wakil dari Findlay untuk membincangkan bagaimana profil Morrisby dapat membimbing arah aspirasi kerjaya dan universiti mereka.
Suasana semasa acara berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JIS