BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JAN – Dalam usaha untuk membantu dan membimbing para pelajar meneruskan pengajian di peringkat universiti, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) baru-baru ini mengadakan acara tahunan Higher Education Evening bagi pelajar Tahun 12 di Pusat Kesenian JIS.
Acara diisikan ucapan Pengetua JIS, Nicholas Sheehan, diikuti sesi bimbingan dan nasihat dalam memilih universiti oleh Dekan Pengajian Tinggi, Alex Cook dan perkongsian destinasi pengajian di petak-petak wakil universiti termasuk Brunei Darussalam, Australia, Kanada, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat.
Para pelajar juga menyertai sesi memfokuskan permohonan ke Oxbridge bagi mereka yang ingin memohon di Universiti Oxford dan Universiti Cambridge dalam pengajian perubatan.
Acara turut dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Tiffany McDonald dan Pesuruhjaya Tinggi Kanada, PYT Jeanette Stovel yang turut memberikan serba sedikit penjelasan kepada pelajar dan ibu bapa mereka mengenai peluang pengajian di negara mereka.
Manakala Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British, Natalie Gowers-Barnes juga tidak ketinggalan menyertainya bagi menyalurkan maklumat mengenai pengajian di UK dan kesan sistem universiti UK akibat COVID-19. Universiti Brunei Darussalam (UBD) mewakili Brunei menjawab pertanyaan pelajar yang ingin mengetahui pengajian di universiti itu.
