Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JAN – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) kelmarin telah menganjurkan Malam Pengajian Tinggi Tahun 12 di Pusat Kesenian JIS.
Acara tahunan berkenaan merupakan bahagian penting dalam setiap perjalanan pelajar JIS untuk menyelidik dan memilih laluan pendidikan tinggi yang paling sesuai.
Majlis berkenaan dimulai dengan ucapan perasmian oleh Pengetua JIS, Nicholas Sheehan dan Ketua Kurikulum Tingkatan Enam, Dan Roberts. Mereka antara lain menggariskan sokongan yang ditawarkan JIS kepada pelajar-pelajar dari segi memilih laluan pengajian tinggi.
Semasa majlis itu, pelajar dan ibu bapa menghadiri sesi-sesi country-specific mengenai pelbagai destinasi pengajian tinggi termasuk Australia, Kanada, Perancis, Malaysia, Singapura, Switzerland, United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta melawat petak-petak maklumat yang disediakan oleh para perwakilan negara yang terlibat.
Sesi country-specific berkenaan bertujuan untuk memberikan inspirasi kepada pelajar untuk belajar di negara-negara tersebut, malah bagi menyediakan maklumat penting tentang kursus, proses permohonan, kos dan situasi visa dan imigresen, serta peluang untuk pengajian lepasan ijazah dan pekerjaan.
Penceramah dari Unit Biasiswa Kementerian Pendidikan turut hadir memberikan nasihat mengenai permohonan biasiswa dan skim pinjaman.
Wakil dari pelbagai institusi pengajian tinggi Brunei, termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB), Kolej Perdagangan Laksamana (LCB), Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (IGS) dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) turut hadir.
Pelajar dan ibu bapa diberikan peluang untuk bertemu dengan wakil dari Findlay untuk membincangkan bagaimana Profil Morrisby boleh membimbing hala tuju aspirasi kerjaya dan universiti mereka.