JIS juara kejohanan bola jaring Kluster 2

Oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Nov – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) muncul sebagai johan Kejohanan Bola Jaring Sekolah Rendah Kluster 2, 2018 apabila berjaya menundukkan Sekolah Rendah (SR) Pengiran Anak Puteri (PAP) Besar, Sungai Kebun dengan jaringan 16-4 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Kompleks Sukan Sungai Kebun, petang tadi.

Sementara itu, SR Mulaut pula meraih tempat ketiga selepas mengalahkan SR Orang Kaya Setia Bakti Kilanas dengan jaringan 15-2 untuk merangkul pingat gangsa.

Hadir menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang termasuk penerima Anugerah Pemain Terbaik iaitu Maddie Fillion dari JIS ialah Penolong Pegawai Kanan (Working Group) Kluster 2, Datin Hajah Rogayah binti Haji Mat Daud.

Sebanyak 21 buah sekolah rendah dalam kawasan Kluster 2 telah menyertai kejohanan tahunan anjuran Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan yang kali ini dikendalikan oleh SR PAP Besar Sungai Kebun.

Datin Hajah Rogayah ketika menyampaikan piala juara kepada JIS semasa majlis penyampaian hadiah kejohanan tersebut.