Sunday, April 20, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ISB meriahkan Hari Kebangsaan

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Bahyiah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 FEB – Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), hari ini, telah mengadakan siri perhimpunan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussaam ke-36 di Dewan Teater ISB, hari ini.

    Turut mengambil bahagian dalam persembahan semasa perhimpunan itu ialah cucunda-cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Yang Teramat Mulia Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim yang menjadi juruacara perhimpunan menengah dan menyertai salah satu daripada persembahan pentas mengenai kisah rakyat Brunei, ‘Sang Kancil’.

    Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah pula turut mempersembahkan tarian ‘Dikir Puteri’, dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb menyertai persembahan ‘Alai Siakap’.

    Turut membuat persembahan ialah cucunda Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Pengiran Seti Amanina Wafiqah.

    Perhimpunan pertama bermula dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Sekolah Rendah (Primary) ISB, Michael Everett yang antara lain mengingatkan para pelajar tentang pentingnya acara tersebut.

    Acara kemudiannya diteruskan dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’, diikuti dengan pelbagai persembahan cerita rakyat, lagu dan tarian tradisional Brunei.

    Empat perhimpunan berasingan telah diadakan, yang memenuhi pelbagai kumpulan peringkat utama, menampilkan pelajar bahasa pertama dan kedua Bahasa Melayu di kedua-dua bahagian rendah dan menengah.

    Antara persembahan menarik oleh pelajar Tahun 1 hingga 6 termasuk ‘Joget Berhibur’ oleh pelajar-pelajar Tahun 2, tarian ‘Zapin Teluk Belanga’ oleh pelajar Tahun 3, ‘Mengantuk’ oleh pelajar Tahun 1, tarian ‘Dikir Puteri’ oleh pelajar Tahun 4, ‘Hadrah’ oleh pelajar Tahun 5, dan ‘Zapin Hiphop’ oleh pelajar Tahun 6.

    Selain itu, pelajar-pelajar menengah juga turut membuat persembahan masing-masing, antaranya persembahan ‘Hadrah’ oleh Tahun 9, tarian tradisional ‘Citra Gemilang’ oleh Tahun 10, persembahan video ‘Brunei Malay Tribes’ oleh Tahun 10, tarian ‘Tamaruk’, tarian ‘Aduk-Aduk’ dan tarian ‘Alai Siakap’ oleh Tahun 9, cerita rakyat Brunei ‘Sang Kancil’ dan persembahan silat oleh Tahun 8, dan pelbagai lagi.

    YTM Pengiran Muda ‘Abdul Muntaqim dan YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah ketika menyertai perhimpunan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 di Dewan Teater Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), kelmarin.

    YAM Pengiran Anak ‘Abdul Haseeb ketika membuat persembahan.
    Pengiran Seti Amanina Wafiqah turut membuat persembahan semasa perhimpunan tersebut.
    Antara murid-murid yang membuat persembahan semasa salah satu perhimpunan yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam di ISB.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda