Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MAC – Sebagai keprihatinan terhadap warga sekolah dan kakitangan penyelenggaraan yang sedang menjalani tempoh kuarantin, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mengumpulkan sumbangan daripada kalangan komunitinya.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JIS, baru-baru ini, Tony Hue dari HSE Engineering Sdn Bhd serta Julio Saguilot dan Ryan Sevilla dari Borneo United Enterprise Sdn Bhd telah menerima sumbangan berkenaan bagi kakitangan mereka.
Sementara itu, Pengarah Pengayaan dan Operasi, Justin Harris dan Timbalan Ketua Sekolah Junior, Tamsin Harris telah menyerahkan sumbangan daripada komuniti sekolah berkenaan ke Pusat Pengasingan Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Temburong.
Terdahulu, JIS juga telah menghulurkan sumbangan pek makanan hasil dana sumbangan warga sekolah, kepada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam sekitar awal tahun ini.
Pengetua JIS, Nicholas Sheehan turut berkongsi kegembiraan menyaksikan penglibatan warga sekolah yang begitu pemurah dan penyayang.
Menurutnya, pihak sekolah akan terus menjalankan misi bersama dalam menyokong masyarakat tanah air yang terkesan pada masa yang mencabar ini.
Sehubungan itu, kakitangan sekolah juga akan memulakan program kempen sumbangan amal di mana ibu bapa dialu-alukan untuk menyumbangkan pelbagai jenis makanan daripada senarai keperluan yang dicadangkan sebelum bekerjasama dengan badan-badan amal tempatan.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/03/P9-1JIS-1_22032022.jpg)