Monday, April 21, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    JIS rai pelajar cemerlang A Level

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 OKT – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah meraikan pelajar Kelas 2023 A Level yang telah memperoleh keputusan cemerlang.

    Pelajar JIS telah mencapai gred A* atau A yang cemerlang dalam 29.5 peratus daripada semua gred yang diberikan dan sebanyak 53.9 peratus daripada semua gred yang dianugerahkan ialah A*, A atau B, yang secara amnya dianggap sebagai tahap minimum yang diperlukan untuk masuk ke universiti terkemuka United Kingdom (UK).

    Empat pelajar termasuk dua warga Brunei telah mencapai gred A* dalam kesemua empat mata pelajaran A Level dan mereka ialah Varsha Gopinath Lakshmi, Kiefer Lim, Wesley Lim dan Yahya Husain Ul Hasan.

    Atas pencapaian yang diperoleh itu, Varsha akan melanjutkan pengajian ke Universiti Liverpool untuk mengikuti jurusan Perubatan, manakala Kiefer akan melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford di UK untuk belajar Fizik.

    Sementara itu, Wesley merancang belajar Perakaunan di Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Yahya akan mendaftar di Universiti Toronto untuk belajar Sains Komputer.

    Yahya Husain Ul Hasan. – Gambar serahan JIS
    Varsha Gopinath Lakshmi. – Gambar serahan JIS
    Gambar serahan JIS
    Gambar serahan JIS

    Di samping itu, empat lagi pelajar mencapai gabungan gred A*/A dalam kesemua empat mata pelajaran untuk A Level, iaitu Aneeza Mohammad Shamsul (Brunei), Nischal Gurung, Mohammed Usman-Sarki dan Timo Stapel.

    Aneeza akan melanjutkan pengajian di Kolej Universiti Dublin untuk mengambil bidang Perubatan dan Nischal ke King’s College London untuk BSc dalam Sains Komputer.

    Sementara Mohammed dan Timo, yang merupakan pelajar asrama JIS, masing-masing akan melanjutkan pengajian di Universiti Groningen, Belanda untuk mengikuti kursus Kejuruteraan dan Perubatan.

    Ahmad Jamsari dan Suhaima Ahmad pula telah memperoleh gred A* dalam ketiga-tiga mata pelajaran A Level manakala 16 pelajar lagi mencapai gred 3A* atau A dalam Tahap A.

    Tiga daripada pelajar berprestasi tertinggi merupakan penerima biasiswa Kementerian Pendidikan untuk menghadiri JIS dan mereka ialah Afiq Asri, Eshyn Kon Chai dan Qawi Asmadi. Afiq akan melanjutkan pelajaran Kejuruteraan Kimia dan Proses di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Eshyn berharap dapat belajar Perubatan dan Qawi akan melanjutkan kursus Pergigian di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Anna Pei, warga asrama penuh dari China, akan ke Universiti New South Wales di Australia untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Politik, Falsafah dan Ekonomi (PPE) dan juga ijazah Undang-undang.

    Pengetua JIS Nicholas Sheehan berkata, “Walaupun pelajar ini akan meninggalkan JIS dengan keputusan akademik yang cemerlang, mereka akan lebih dikenang oleh rakan-rakan pelajar atas impak besar mreka sebagai pemimpin muda di sekolah dan pengaruh di sekeli-ling mereka.

    “Selain itu, mereka telah menunjukkan contoh yang sangat baik kepada ahli-ahli yang lebih muda dalam komuniti dan kejayaan mereka ini juga adalah sokongan daripada ibu bapa dan juga pasukan akademik peringkat tinggi,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda