Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 SEPT – Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) mempamerkan dominasi mereka apabila merangkul dua kejuaraan pada Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan bagi Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Negara Brunei Darussalam 2019 hari ini.
Kejohanan anjuran Jabatan Kokurikulum Cawangan Daerah Belait itu menyaksikan dua perlawanan akhir bagi Kategori B (15 tahun ke bawah) dan Kategori C (18 tahun ke bawah) diadakan hari ini, di mana Sekolah Chung Hwa BSB terpaksa akur di tempat kedua selepas tewas 7-18 di tangan JIS dalam Kategori B.
Manakala dalam Kategori C pula, JIS sekali lagi mempamerkan kehebatan mereka apabila menewaskan pasukan dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA) dengan keputusan 13-22, sekali gus meraih kejuaraan berganda.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya berkesudian menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut.
Kejohanan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada dua pemain JIS yang menerima trofi Pemain Paling Bernilai (MVP) iaitu Isabel Vele dan Iman McCarthy, yang mempamerkan permainan hebat dalam membantu pasukan masing-masing menjuarai Kategori B dan Kategori C.
Lebih daripada 50 pasukan dari sekolah-sekolah menengah dan maktab-maktab dari seluruh negara bersaing pada kejohanan tersebut, yang berlangsung di Kompleks Sukan Mumong sejak 18 September lalu.
